"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

200 pendatang vietnam dan Bangladesh bergaduh angkara seorang wanita


NILAI: Tindakan seorang pekerja cuba memikat seorang gadis, berakhir de-ngan 23 orang cedera dalam pergaduhan antara dua kumpulan melibatkan 200 orang dikawasan asrama pekerja sebuah kilang tekstil di Taman Semarak, di sini, malam kelmarin. 

Dua lelaki Vietnam dan seorang lelaki Bangladesh dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan, manakala 20 pekerja lagi dirawat sebagai pesakit luar. 

Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati terhadap perbuatan seorang lelaki warga Bangladesh yang cuba memikat seorang wanita warga Vietnam.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Manan Mhd Hassan berkata, insiden kira-kira jam 9 malam itu melibatkan pekerja lelaki Bangladesh dan Vietnam, berumur antara 20-an dan 30-an.

“Lelaki warga Bangla-desh terbabit dikatakan cuba memikat wanita berkenaan sekitar kawasan kilang pada 6 Jun lalu. 

“Wanita Vietnam yang kurang senang dengan perbuatan itu kemudian memaklumkan kepada rakan senegaranya,” katanya di kawasan berhampiran asrama berkenaan, semalam. 

Abdul Manan berkata, beberapa rakan wanita berkenaan kemudian memukul lelaki Bangladesh itu dalam kawasan kilang, mengakibatkannya cedera ringan.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai menimbulkan suasana tegang antara dua kumpulan pekerja terbabit dan mencapai kemuncak nya apabila mereka bergaduh dalam kawasan asrama, malam kelmarin. 

Menurutnya, kira-kira 150 pegawai dan anggota polis, termasuk dua pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan daripada pihak pengurusan kilang. 

“Seramai 23 pekerja lelaki dari dua negara terlibat cedera ringan di kepala, dipercayai akibat dipukul. 

Menurutnya, polis mengawal kira-kira 500 pekerja lelaki warga Bangladesh serta Myanmar sepanjang perjalanan mereka dari kilang ke asrama. 

“Ketegangan mula reda sejak jam 5 pagi tadi (semalam). Polis menjalankan pemeriksaan di kawasan asrama mulai pagi tadi (semalam) dan sepasukan FRU masih ditempatkan di situ. 

“Perbincangan akan diadakan dengan pengurusan kilang untuk mengenal pasti punca sebenar pergaduhan. Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana disyaki merusuh menggunakan senjata,” katanya. 

Menurutnya, belum ada tangkapan dibuat dan penduduk sekitar kawasan asrama terbabit diberi jaminan tidak perlu bimbang kerana polis sentiasa memantau keadaan untuk menjaga keselamatan mereka.
-sinarharian-

Tiada ulasan: