"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Subsidi gas RM131 bilion hanya untungkan IPP- Guan Eng


KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengulangi kewajaran kerajaan memberikan subsidi kepada Tenaga Pengeluar bebas (IPP) sedangkan subsidi kepada rakyat dikurangkan.
Menurutnya, sehingga akhir 2010, Petronas menambah sejumlah RM131.3 bilion subsidi bagi kedua-dua sektor tenaga dan bukan tenaga, di mana kira-kira RM27 bilion perlu ditanggung pada 2011.
“Sekiranya harga gas tidak berubah (bagi sektor janakuasa pada RM10.70/mmBtu; dan sektor bukan janakuasa pada RM15.35/mmBtu), kira-kira RM27 bilion dalam tahun 2011 harus ditanggung.
“Penerima faedah RM131.3 bilion subsidi tersebut adalah IPP yang juga menerima manfaat daripada pembeli-pembeli yang dijamin melalui Perjanjian Pembelian Kuasa yang ditandatangani dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB),”
“Adakah IPP adalah dalam kalangan kumpulan sasaran yang memerlukan dan memenuhi syarat sedangkan mereka memperoleh berbilion ringgit dengan keuntungan yang luar biasa daripada untuk menikmati subsidi berganda bernilai RM131.3 bilion?,” soalnya lagi.
Semalam, Guan Eng mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab pendedahan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad  (TNB) Tan Sri Ani Arope.
Bekas CEO TNB itu mendedahkan bahawa Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bertanggungjawab terhadap skandal subsidi minyak yang menyebabkan rakyat Malaysia menanggung kos berjumlah RM131.3 bilion pada tahun 2010.
Pada masa ini, harga pasaran untuk gas bagi sektor kuasa ialah RM47.42 setiap MMBtu  manakala Petronas membeli kira-kira 36 peratus daripada gas di luar Malaysia.
Sebelum ini, Pengarah Strategi KEADILAN yang juga bekas Pengurus Kanan di petronas Rafizi Ramli mendakwa, syarikat petroleum itu menjual gas dengan harga yang lebih murah kepada IPP.
Menurut Guan Eng, pengurangan subsidi dapat meningkatkan daya saing, kecekapan dan taraf hidup masyarakat sekiranya disokong oleh penetapan kadar upah minimum, meningkatkan gaji dan menghapuskan subsidi gas berganda untuk IPP.
“Laporan menunjukkan bahawa 40% isi rumah di Malaysia memperoleh pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.
“Jadi, bagaimana masyarakat miskin mengekalkan taraf hidup mereka sekiranya kos sara diri meningkat apabila penghapusan subsidi dibuat tetapi pendapatan atau gaji tidak mampu menyaingi kadar inflasi?
“Perdana Menteri mendakwa bahawa subsidi adalah ‘candu’ atau opium, jadi mengapa tidak menghapuskan ‘Big Opium’ seperti rasuah yang menyebabkan kerugian RM28 bilion setiap tahun atau subsidi gas berganda kepada IPPs berjumlah RM25 bilion tahun ini?,” soalnya.

Tiada ulasan: