"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KEADILAN, Peguam tolak inkues tembak mati remaja


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Pertubuhan Peguam, Lawyers For Liberty menolak penubuhan inkues bagi menyiasat kejadian tembakan oleh polis yang membawa kematian tiga remaja di Glenmarie, Shah Alam November tahun lalu.
Penegasan itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, N Surendran dan wakil LFL, Fadiah Nadwa Fitri.
“Kami merujuk pengumuman Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Tun Hamzah bahawa polis menuntut inkues dalam kes tembakan polis yang membawa maut terhadap Mohd Shamil Hafiz, 15, Hairul Nizam Tuah, 20 dan Mohd Hanafi Omar, 22 pada  13 Novermber 2010 di Glenmarie.
“Bagi pihak keluarga mangsa, kami menolak mengadakan inkues terhadap pembunuhan ini. Sangat jelas tidak ada keperluan untuk inkues kerana jelas tiada pertikaian bahawa ketiga-tiga remaja itu sengaja ditembak mati oleh polis,” ujar mereka dalam satu kenyataan yang dikeluar lewat petang ini.
Semalam, kata kenyataan itu, mereka mendedahkan laporan bedah siasat yang sangat bertentangan dengan keterangan yang diberikan pihak polis sebelum ini.
“Polis mendakwa mangsa ditembak mati apabila mereka menerpa ke arah polis dengan parang. Ini tidak konsisten dengan laporan bedah siasat mengenai penemuan tembakan dari sudut 45 darjah yang menunjukkan mangsa telah melutut sebelum ditembak.
“Juga tidak selari dengan versi polis, iaitu dua daripada mangsa mengalami luka akibat peluru di sebelah kepala,” tegas mereka yang menyatakan bahawa laporan itu disediakan oleh pakar patalogi berkelayakan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Penemuan-penemuan ini sudah cukup dari segi undang-undang untuk mengenakan dakwaan membunuh terhadap anggota polis yang terlibat dalam tembakan itu,” tegas nya lagi.
Justeru itu, mereka menganggap penubuhan inkues oleh pihak polis sebagai satu lagi taktik melengahkan  siasatan untuk mengalih kemarahan orang ramai berikutan pendedahan hasil bedah siasat itu semalam.
“Kami juga dikejutkan oleh pihak polis yang mendakwa siasatan mengenai tembakan itu masih tidak lengkap. Memandangkan bahawa tujuh bulan telah berlalu sejak tembakan itu, dengan jelas ia adalah alasan dan percubaan untuk menangguhkan sebarang tindakan  kepada anggota polis terlibat.
“Kami mengulangi permintaan keluarga mangsa bahawa semua anggota polis terlibat dalam tembakan didakwa di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan kerana pembunuhan terancang.
“Peguam Negara harus memastikan ia dijalankan tanpa kelewatan. Keluarga-mangsa berhak mendapat keadilan dengan cepat. Kami juga menggesa dakwaan dikenakan di bawah sesyen 203 Kanun Keseksaan terhadap pegawai polis, tidak kira betapa tinggi pangkat mereka, yang memberi versi palsu kepada orang awam,” ujarnya.

Tiada ulasan: