"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Gereja : AMK Gesa Cari Dalang Sebenar


SHAH ALAM, 27 OGOS: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa Kerajaan Negeri menyiasat pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam merancang pemeriksaan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya awal pada 3 Ogos lalu.

Ketua AMK Selangor, Irwan Ismail berkata, pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu ini.

Selain itu, AMK Selangor juga mahu agar kerajaan negeri memperkasakan institusi agama di negeri itu termasuk menambahbaik pengagihan bantuan zakat.

"Penyiasatan dan pendedahan dalang disebalik isu ini perlu diumumkan dengan kadar segera bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif dikalangan rakyat.

"Ini jelas, kerana sumber kepada isu ini masih lagi menjadi keraguan. Jadi kita mahu pihak kerajaan negeri mencari siapa dalang disebalik isu ini. Kita juga berharap selepas pendedahan isu ini masyarakat Malaysia lebih jelas dan faham akan perkara tersebut," tegasnya ketika ditemui di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK).

Jelasnya lagi, AMK menolak sekeras-kerasnya pihak yang cuba menangguk di air yang keruh demi kepentingan agenda politik sempit.

Beliau sebelum itu menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi Setiausaha Politiknya, Faekah Husin.

Pada 3 Ogos lalu, Jabatan Agama Islam Selangor(Jais) melakukan pemeriksaan ke atas gereja DUMC ekoran maklumat terdapat beberapa umat Islam menghadiri majlis makan malam muhibah yang dianjurkan oleh gereja terbabit.

Pada majlis tersebut, turut kelihatan seseorang sedang berucap sambil menyelitkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran selain terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan umat Islam.
-tvsnews-

Tiada ulasan: