Subky Abdul Latif
HARAPAN sasterawan Azizi Haji Abdullah mahu mati dulu dari saya terkabul pada pagi 21 Ogos, 2011 bersamaan 21 Ramadhan 2011 lalu.
Dalam mingguan SIASAH keluaran 8 – 14 Februari 2009 menulis rencana bertanjuk Subky, janganlah engkau mati dulu.
Tulisannya itu memberi saya pahala kerana ia mengigatkan saya tentang kematian saya. Seseorang itu akan dapat pahala apabila dia ingat akan matinya. Saya syukur kepadanya kerana menulis rencana itu yang menyebabkan saya dapat pahala.
Dan benar dia telah mati dulu dari saya. Sekali lagi saya ingat akan kematian saya. Moga-moga dapat lagi pahala. Apabila betul dia mati dulu, saya teringat pula lepas ini saya pun akan mati juga. Tidak tahulah segerakah atau lambat. Maka ingat lagi saya tentang mati.
Dengan tulisan Azizi itu menyebabkan beberapa kali saya dapat pahala. Sayugia saya bersyukur kepadanya kerana dia dapat menumbangkan pahala itu dan kerana dia telah menyebabkan saya dapat pahala, saya percaya dia pun dapat juga pahala setiap kali saya dapat pahala bersabit dengan pahalanya.
Dalam tulisannya itu dia menyebut tentang dia tidak banyak tua dari saya. Dia mati dalam usia 69 tahun. Saya baru 71 tahun. Dua tahun dulu daripadanya.
Dia mahu saya mati kemudian daripadanya kerana mahu saya terus menulis tentang cerita-cerita politik dulu yang saya pengetahuan sedikit sebanyak. Terutama tentang liku-liku PAS yang saya tahu.
Memang saya banyak menulis kenangan lama yang saya ingat. Orang lain pun banyak juga kenangan-kenangannya tetapi kerana saya dijadikan Allah untuk banyak menulis, maka dapatlah saya rakamkan apa yang saya ingat.
Baginya apa yang saya tulis itu amat berguna kepada semua orang. Maka dia seperti berwasiat kepada parti kerabat Pakatan Rakyat supaya memberi meja kepada saya untuk menulis apa yang saya ingat tentang parti-parti itu dan tentang apa yang dibuat oleh orang-orangnya.
Dia kata yang saya tulis itu adalah memoir saya. Dia mahu terus membaca apa yang dianggapnya memoir itu.
Sebenarnya pun sudah pun menyiapkan dua jilid memoir seperti yang Azizi kehendaki itu. Jilid yang pertama telah siapa sebelum Azizi membuat rencana itu. Yang kedua baru saja siapa. Yang ketiga baru saja dimulakan, jika lambat lagi mati sempatlah ia siap. Itu pun jika dia sebarang keuzuran.
Saya amat terkilan kerana Azizi tidak sempat membacanya kerana ia belum diterbitkan. Jilid yang pertama lama disimpan oleh satu penerbit. Ia hendak mencitaknya tetapi skrip itu dipulangkan balik kepada saya. Kalau ia diterbitkannya dulu tentu dapat Azizi membacanya.
Oleh kerana Azizi itu amat tinggi minatnya pada tulisan saya, tidak mengapalah kalau orang lain tidak bercadang membacanya, asal saya dapat memuaskan selera Azizi saya berasa senang. Jika dia masih hidup dan dapat membacanya, tentu dia terhibur.
Jika dengan keselesaannya ia dapat meningkatkan takwa dan jihad rakan saya itu, tentu saya akan dapat pahala.
Oleh kerana parti yang saya sertai itu menyeru kepada jihad, maka tulisan saya tentangnya adalah dengan niat jihad. Azizi pun menyertai jihad yang sama. Saya tahu Azizi yang komited di bidang kesusasteraan adalah komited juga dengan perjuangan yang saya sertai. Maka ada pahalanya atas komitmennya itu. Jika catatan saya itu dapat sedikit sebanyak menguatkan jihad Azizi, saya harap dapat menumpang kebahagiannya di akhirat nanti.
Saya senang tentang tulisannya itu. Bukan kerana saya mati kemudian daripadanya. Tetapi kerana pandangan baiknya dan ikhlas pada tulisan saya. Moga-moga ia dibuatnya kerana Allah. Kerana dia dapat menyenangkan saya tentu dia diberi pahala.
Saya pun tidak tahu apakah sumbangan saya benar-benar berharga. Tetapi kerana saya tidak tahu buat kerja lain, menulis saja yang saya tahu. Ada orang tanya saya, mengapa saya tak henti-henti menulis.
Jawab saya, itu saja kerja yang saya tahu dan boleh buat. Saya tak tahu gali parit, tak tahu menebang pokok, tak lalu membuat kerja berat seperti membacuh simen, maka saya menulis saja. Mungkin Allah mahu saya jadi penulis saja.
Saya pernah beberapa kali menyertai pilihan raya. Kalau saya menang tentu saya tidak banyak masa menulis atau berhenti menulis. Mungkin kerana Allah mahu saya kekal menulis, maka saya dikalahkan.
Apa pun Azizi adalah penulis besar baik sebagai novelis dan rencana. Saya mengikuti semua tulisannya di akhbar yang saya tulis. Dalam sama setahun ini saya tidak jumpa tulisannya. Saya tidak tahu sebabnya. Rupanya novelis dan penulisan berpena tajam itu uzur. Saya tidak tahu dia uzur. Tahu-tahu dia mati.
Kita hilang seorang berjiwa besar sepertinya. Dia mengakhiri usia sebagai pejuang ternama di bidang penulisan dan di medan jihad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan