"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"Bunuh Duta AS bukan saja wajar malah sangat wajar"

KU SEMAN KU HUSSAIN
(Mingguan Malaysia, 17 Sept 2012)
Ketika Duta Amerika Syarikat (AS) di Libya Christopher Stevens dibunuh semasa demonstrasi membantah filem menghina Nabi Muhammad, kita menganggap itu tindakan keterlaluan. Ini kerana pada prinsipnya filem itu dibuat oleh individu di AS dan tidak mewakili AS. Maka AS tidak wajar dipersalahkan. Tetapi beberapa hari selepas itu, tindakan membunuh Duta AS itu bukan sahaja wajar malah sangat wajar.

Ada beberapa sebab yang mewajarkan tindakan itu antara yang paling ketara sekali ialah sikap dan pendirian AS terhadap penerbitan filem yang menyinggung umat Islam. Isunya sekarang ini bukanlah penerbit filem berkenaan. Sebaliknya sudah menjadi isu AS apabila Setiausaha Negara Hillary Clinton mengambil sikap lepas tangan terhadap isu berkenaan. Hillary mewajarkan penerbitan filem Innocence of Muslims itu kerana bersandarkan hak kebebasan bersuara rakyat AS.

Maka pembunuhan Duta AS itu adalah mesej Islam dari seluruh dunia supaya AS bertanggungjawab dengan mengenakan tindakan ke atas penerbit filem berkenaan. Kalau AS tidak mengambil tindakan, pembunuhan Duta itu bukanlah suatu yang kejam. Sebabnya AS lebih kejam memberi kelonggaran kepada individu memberi fakta yang salah sama sekali mengenai Nabi Muhammad. Fakta itu pula lebih kepada provokasi supaya umat Islam supaya memperlihatkan tindakan dan itu kemudiannya dilihat sebagai pelampau dari sudut pandangan AS.

Melontarkan provokasi agama dengan menggambarkan tokohnya dengan keburukan bukanlah kebebasan bersuara. Maksud kebebasan bersuara lebih kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan ideologi, sosial atau politik. Kalau isu filem ini dianggap kebebasan bersuara, ternyata ini tidak memberi keadilan sama sekali kepada pihak majoriti atau umum. Sebabnya hujah tentang Nabi Muhammad tidak bersandarkan fakta tetapi rekaan semata-mata.

Kalau provokasi seperti ini dianggap kebebasan bersuara, maka jelaskan AS memberi kebebasan yang tidak membawa kebaikan malah memberi kerosakan kepada umum. Apabila sesuatu itu tidak memberi kebaikan kepada umum ia dengan sendirinya bertentangan dengan kepentingan umum. Apakah ini membuktikan AS yang mendakwa demokratik sebenarnya mengenepikan kepentingan umum untuk menjaga kepentingan individu?

Kebebasan

Maka isu penerbit filem sudah tidak penting lagi. Individu seperti ini ada di mana-mana, bukan sahaja di AS malah di negara-negara Islam sendiri. Mereka ini samalah dengan penulis Salman Rushdie yang menulis The Satanic Verses atau Irshad Manji yang menghina Islam dengan lesen kebebasan bersuara. Individu seperti ini mempunyai agenda tertentu atau sekadar melontarkan provokasi untuk mempopularkan diri.

Tetapi yang menjadi isu adalah pihak yang berkuasa seperti AS kerana tidak mahu bertanggungjawab seterusnya mengambil tindakan tegas. Individu seperti ini tidak akan muncul kalau mereka tidak diberi laluan merosakkan kepentingan umum atas prinsip kebebasan individu. Sekarang ini penerbit filem yang entah siapa-siapa dulunya, kini menjadi figura penting apabila dilindungi oleh AS. Provokasi terhadap agama sudah banyak kali berlaku. Tetapi bezanya di negara lain provokasi seperti ini diambil tindakan untuk menghentikan dan mengambil tanggungjawab.

Tetapi sikap AS dalam isu filem ini adalah kesinambungan diskriminasi AS terhadap masyarakat Islam. Ini bukan perkara baru. Lihatlah isu pembinaan sebuah pusat Islam berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang hancur dalam tragedi 11 September 2001 di mana Islam menjadi mangsa diskriminasi. AS juga secara psikologi mencipta istilah baru "Islamofobia" untuk menggambarkan kebimbangan masyarakat dunia terhadap Islam.

Islamofobia diciptakan oleh AS untuk memberikan gambaran buruk kepada Islam. Ini ditambah lagi dengan serangan ke atas WTC dalam tragedi 11 September 2001. Lama sebelum itu Islam juga sudah dilabelkan sebagai "pelampau". Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam adalah pelampau. Semua ini dirancang dengan rapi untuk memerangi Islam secara psikologi. Maka penerbitan filem yang menghina Nabi Muhammad bukanlah suatu yang mengejutkan. Ia mungkin dirancang untuk dijadikan bom jangka yang sengaja dipasang untuk mencuit umat Islam termasuk pelampau bertindak. Ini dapat dilihat apabila pemimpin seperti Hillary lebih menyanjung hak kebebasan bersuara daripada hak untuk hidup harmoni.

Pelampau

Selepas ini sudah pasti Islam akan dilabelkan sebagai pelampau apabila Duta AS di Libya dibunuh. Pembunuhan ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh AS untuk membuktikan Islam bersekutu dengan keganasan. Kematian Duta itu akan diperbesarkan hingga menenggelamkan isu kenapa pembunuhan itu berlaku. Kepada sesiapa juga yang mengikuti strategi AS memerangi Islam akan setuju bahawa pembunuhan Duta AS adalah mesej daripada umat Islam.

Pada sisi yang lain, Hillary sebenarnya berbohong apabila berkata filem adalah ekspresi kebebasan bersuara dan kerajaan tidak boleh menghalangnya. Buktinya AS telah mengharamkan banyak filem sebelum ini kerana memberi kesan buruk kepada pemerintah dan kelompok Yahudi. Buktinya filem The Profit pada 2007 dan The Yes Men Fix The World (2010) antara yang diharamkan. Siapa kata filem sebuah ekspresi kebebasan bersuara dan tidak boleh diharamkan?

Bagaimana Hillary boleh berkata AS menjunjung prinsip kebebasan bersuara dan tidak boleh mengharamkan filem yang menghina Nabi Muhammad? Hillary adalah wanita yang paling berkuasa di AS dan boleh mengarahkan supaya penerbit filem diambil tindakan. Hillary tentu akan berkira-kira sokongan Yahudi kepadanya kalau mengambil tindakan ke atas penerbitan filem yang menghina Islam.

Apabila Hillary menganggap filem itu sebagai kebebasan bersuara, maka tidak hairanlah penerbitnya mengeluarkan kenyataan yang angkuh dan anti Islam. Malah enjin carian terbesar, Google juga selari dengan kenyataan Hillary dan bertegas tidak akan mengeluarkan filem itu dari Youtube kecuali di Mesir dan Libya.

Bagaimanapun mendepani AS yang penuh taktikal itu tidak boleh semata-mata menyahut provokasi dengan provokasi. Tindakan menganjurkan tunjuk perasaan termasuk membunuh Duta adalah salah satu cara untuk memprovokasi AS. Tetapi kaedah lain yang perlu dilakukan ialah umat Islam mesti bersatu dan memulaukan AS. Pemimpin-pemimpin di negara Islam mesti menunjukkan teladan yang baik kepada dunia untuk menafikan Islamofobia ciptaan AS. Tetapi apabila pemimpin-pemimpin Islam di negara Islam sendiri menunjukkan pekerti yang buruk, diktator, membunuh rakyat dan paling malang sanggup ditunggang oleh AS untuk terus berkuasa, inilah ruang untuk AS memperendahkan Islam.

Tiada ulasan: