Beijing: Tindakan seorang pengetua sekolah mengucup anak babi di depan pelajar bagi mengotakan janjinya mengejutkan ramai orang dengan sesetengah pihak mengesyaki lelaki terbabit sebenarnya mencari publisiti murahan.
Pengetua Sekolah Rendah Xianning, Hong Yaoming mengucup seekor anak babi seberat 20 kilogram sambil disaksikan pelajar serta kakitangan lain.
Melalui gambar disiarkan agensi berita China, seorang kakitangan sekolah membantu mengawal haiwan berkenaan - yang diikat - ketika ia dikucup.
Kaki depan anak babi itu terangkat ketika aksi berkenaan dilakukan.
Mac lalu Hong berjanji untuk mengucup anak babi jika pelajar sekolah berkenaan meninggalkan amalan gemar membuang sampah merata-rata.
Ekoran ikrar itu pelajar di sekolah berkenaan benar-benar mengubah sikap dan kesan keputusannya dapat dilihat sebulan kemudian.
Kata Hong, dia terfikir untuk memberi hadiah sebagai perangsang tetapi ia mungkin kurang memberi rangsangan kepada pelajar.
“Tiba-tiba saya terfikir untuk menggunakan kaedah ini (mengucup anak babi) bagi menggalakkan mereka mengubah tabiat membuang sampah,” katanya.
Menurut Hong, dia terbaca berita mengenai kes sama di AS membabitkan seorang guru sekolah rendah.
“Kami cuma menggunakan cara mudah untuk memberi didikan moral yang serius,” katanya.
Ketika berita itu dipuji banyak pihak kerana mempamerkan teladan yang baik - kerana mengotakan janji - di China, sesetengah pengguna Internet pula mempertikaikan mengapa Hong tidak membuat janji yang lebih munasabah.
Profesor sosiologi di Universiti Wuhan, Luo Jiaojiang berkata, Hong boleh mendidik pelajar dengan cara lain.
“Ada kaedah lain boleh digunakan untuk mengajar murid supaya menghormati janji.
“Mengucup anak babi itu keterlaluan bagi seorang pengetua,” katanya.- Agensi/hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan