SUHAIZAN KAIAT
Merujuk kepada isu-isu yang melanda PAS sekarang, saya berpendirian bahawa perbezaan pendapat adalah perkara biasa bahkan ia turut berlaku dalam rakaman sejarah perjuangan Islam sejak dahulu lagi. Yusuf Qardhawi turut ada mengarang sebuah penulisan ilmiah bertajuk Adaab al-ikhtilaf (Adab berbeza pendapat).
Pepatah Inggeris ada menyebut "Two heads are better than one". Kerana itu saya yakin perbezaan pandangan yang sedang berlaku dalam PAS mutakhir ini adalah bertujuan demi melihat PAS lebih berjaya.
Walaubagaimanapun perbezaan akan bertukar kepada krisis jika tidak diurus dengan betul. PAS tidak boleh berselindung dan berada dalam sindrom penafian. Hakikatnya PAS sedang berada dalam keadaan krisis yang meruncing sekarang.
Justeru, PAS perlu mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam menguruskan konflik atau krisis khususnya yang terhasil daripada kepelbagaian yang wujud. Kegagalan menguruskan krisis dengan berkesan sehingga ke akar umbi parti, akan menyebabkan isu ini terus berulang-ulang. Lebih malang lagi, imej serta kepercayaan rakyat terhadap PAS akan terhakis sebelum PAS dan Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya lagi.
Pemuda juga amat bimbang jika krisis atau konflik ini tidak diurus dengan baik, ia akan memberi ruang kepada musuh-musuh PAS khususnya UMNO menggagalkan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya dalam PRU ke-14 bagi meneruskan agenda perubahan dalam urustadbir dan tatakelola Malaysia.
Akhirnya, Pemuda mendesak supaya mesyuarat PAS Pusat diadakan segera. Tarikh 10hb Ogos terlalu lewat untuk mengurus krisis yang sedang berlaku. Rakyat Malaysia sedang memerhatikan PAS menguruskan masalah dalamannya. Saya yakin dengan kebijaksanaan kepimpinan PAS mampu mendepani masalah yang sedang berlaku.
SUHAIZAN KAIAT
Ketua Pemuda PAS Malaysia
1 ulasan:
Terima kasih atas pandangan yang jujur. Dari dulu aku merasakan bahawa PAS punya kekuatan. Perjuangan menegakkan islam tak pernah kalah atau kecundang. Kalah menang kerja Allah. Dia lah yang memberi kerajaan kepada sesiapa yang dikehendaki. Kita cuma berusaha. Yang pasti kita dari golongan orang berjaya. Masalahnya PAS selalu terperangkap dengan ahli gabungan nya sejak kerjasama dengan UMNO, dengan APU, dengan Parti Alternatif dan sekarang dengan PAKATAN. PAS adalah parti alternatif bagi orang melayu dan islam. Malangnya pas menerima pelawaan parti lain untuk bergabung walaupun parti lain tidak menerima dasar PAS sepenuhnya. Matlamat PAS selalu terhalang walaupun laluan terbuka sebagai contoh hudud. Mana mungkin PAS tidak terasa hati hati bila PKR menyokong hudud secara timbul timbul tahi. DAP membiar isu penentangan melalu MCA dan MIC. Kalutnya golongan ini seolah olah undang itu hendak dikenakan keatas mereka. Maka timbul pertanyaan dari pencinta dan pejuang Agama, apa gunanya menang. Rakan rakan lain rupanya menggunakan PAS untuk menang, bila menang PAS terkial kial untuk menyatakan natijah dari kemenangan itu. Kalau PAS mahu bersendirian, aku tidak pasti sama ada strategi itu baik atau sebaliknya. Tapi eloklah PAS hanya berkerjasama atas isu sahaja. Masuk dalam mana pakatan boleh dengan syarat kita beri syarat dan syarat itu mesti diterima dahulu. DAP selalu mengugut bahawa PAS akan kalah besar kerana tiada sokongan orang cina. mungkin betul. tapi bagaimana dengan DAP. Dia akan dapat kemenangan serupa sekarang atau tidak Begitu juga dengan PKR, sebuah parti baru yang tidak cukup jentera. ada setengan kawasan DUN hanya terdapat 2 atau 3 cawangan dan hanya beberapa orang ahli. kakitang PAS yang banyak membantu, tidak tutup markas, kerja siang malam. cuma terdapat 3 atau 4 kawasan sahaja walaupun dikhaskan untuk PKR tapi minggu akhir nak bertanding masih tak atu siapa nak bertanding. sedangkan PAS sudah sedia dengan calon dan jentera, maklumlah kawasan tersebut ditandingi oleh PAS sejak dulu. Masalah dalam PKR amat memualkan. Setiap kali pemilihan macam macam cerita muncul, lebih teruk dari UMNO dan MIC. PAS macam tidak sedar bahawa dia PARTI mahal dan bernilai dalam membentuk senario politik malaysia. Tambahan pula ada golongan ulama muda PAS digelar golong El Haraki yang berusaha kuat dan istiqomah untuk menghalang golongan yang digelar erdorgan. bibit bibit ini akan berpanjangan. kalau tak dikawal dari sekarang, tunggulah 3 kali muktamar lagi atau masa peralihan presiden nanti. kita berharap perkara ini tidak berlaku. Kalau pas berjaya muncul sebagai sebuah parti yang tidak bermasalah in sya allah, bukan hanya setakat kemenangan tapi hasil dari kemenangan akan dapat dinikmati.
Catat Ulasan