"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jamil Khir didakwa salah guna wang YaPEIM ke luar negara bersama isteri, bermain golf dan lawatan ke pusat membeli-belah

Jamil Khir didakwa salah guna wang YaPEIM
Adam Abu Bakar
akmal-nasir,jamilKUALA LUMPUR: National Oversight and Whistleblowers (NOW) mendedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggunakan RM410,978.56 wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Pengarahnya, Akmal Nasir berkata, Jamil dan isterinya telah menggunakan wang anak yatim dan miskin untuk membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, bermain golf dan lawatan ke pusat membeli-belah.

“Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersama isteri Datin Seri Fatmawati Saidin dan seorang lagi individu bernama Cik Biby Haslinda telah mengikuti rombongan ke Amerika Syarikat pada 21 Mei 2014 sehingga 29 Mei 2014,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat NOW, pada Jumaat.

Jelasnya, Jamil Khir dan isterinya serta rombongan telah melawat bandar Washington DC, Minnesota dan Iowa.

“Dikatakan perjalanan itu untuk tujuan ‘Pemantapan dan Pemerkasaan Kelab Santun YaPEIM, tetapi perbelanjaan yang dibayar YaPEIM adalah bersifat bersuka-ria dan langsung tiada unsur amal jariah,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Akmal menyatakan beliau yakin pendedahan ini menjangkau imiginasi rakyat Malaysia dan tindakan Jamil telah melangkaui batas serta mengkhianati agama, bangsa dan negara.
“Bagaimana yayasan berkaitan Islam yang terletak di bawah Perdana Menteri boleh disalah gunakan untuk aktiviti-aktiviti menteri,” katanya.

Justeru, Akmal menggesa jika Jamil Khir masih mempunyai maruah, beliau sewajarnya meletak jawatan dengan serta-merta dan tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

“NOW juga menggesa Jamil Khir dan pemimpin wanita UMNO Kelantan, serta keluarganya dan presiden yayasan itu memulangkan kembali setiap sen yang diambil daripada YaPEIM termasuk gaji, elaun dan juga perbelanjaan ke luar negara.

“Kita doakan agar mereka akur dengan kesilapan mereka dan berharap YaPEIM dirombak agar setiap wang yang diagihkan kepada mereka yang benar-benar susah dan turut melaporkan kemajuan agihan secara berkala dan terbuka,” ujarnya lagi.

Antara bayaran yang dibuat oleh YaPEIM adalah sebanyak RM274,493.10 untuk kos penerbangan pergi dan balik Jamil Khir dan isterinya ke Amerika Syarikat

Selain, majlis keraian menteri termasuk bermain golf berjumlah RM1,658.96 dan sebanyak RM3,200.72 digunakan untuk cenderahati menteri.
-fmt-

-----------------------

Jamil Khir: Akmal mesti mohon maaf atau disaman

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menuntut pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir (bawah) memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam atau beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Ia berhubung dakwaan yang mengatakan menteri itu menyalahgunakan duit untuk anak yatim dan miskin bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri itu berkata dakwaan itu adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar.

"Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya," kata Jamil Khir.

Berikut adalah kenyataan penuh Jamil Khir:

Merujuk kepada kenyataan media Akmal Nasir (Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) merangkap Ketua Cabang Keadilan Johor Bharu) pada 13 November 2015.

Sesungguhnya dakwaan yang mengatakan saya menyalahgunakan duit anak yatim dan miskin yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang (misleading) daripada fakta sebenar.

Kunjungan saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 – 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah seliaan saya terutamanya YaPEIM dengan kerjasama Kedutan Malaysia di Amerika Syarikat dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada.

Melalui strategi penganjuran bersama secara "Strategi Lautan Biru" khususnya yang melibatkan peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) tajaan YaPEIM dan beberapa kumpulan sasaran lain yang berada di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada, beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan.

Program-program tersebut melibatkan kursus kepada pelajar yang memfokuskan aspek motivasi Kenegaraan dan Keusahawanan; Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan, Pengurusan dan Isu-isu Semasa Negara; Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI; Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan; menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia. Program dan pertemuan ini melibatkan pelbagai kumpulan sasaran yang diadakan di Indianapolis dan Washington DC, Amerika Syarikat.

Bersempena dengan perasmian Mid West Game di Amerika Syarikat itu juga, beberapa acara sukan telah dianjurkan oleh Education Malaysia (EM) di Indianapolis termasuklah acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama TYT Duta dan kakitangan kedutaan.

Justeru dakwaan kononnya program saya di AS lebih bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah yang besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabaran Perdana Menteri.

Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya.

Adalah menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab saya selaku Menteri di JPM bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya.

Segala perjalanan dan kegiatan rasmi saya ditanggung oleh agensi berkenaan mengikut polisi dan tatacara kewangan agensi berkaitan. Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan.

Saya sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku yang melibatkan diri saya atau agensi di bawah seliaan saya.

Dengan ini, saya menuntut Akmal Nasir, Pengarah NOW dan The Malaysian Insider menarik balik segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya. - MK

Tiada ulasan: