FMT Reporters
JOHOR BAHARU: Seorang lelaki yang dipercayai cuba menyamun bertindak membunuh diri dengan melepaskan tembakan di bahagian mulut selepas enggan menyerah diri kepada polis di hadapan sebuah restoran di Jalan Desa Kempas 1, Bukit Kempas, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata, lelaki terbabit yang membawa pump gun sebelum itu sempat melepaskan sedas tembakan ke udara sebelum melepaskan tembakan terhadap dirinya.
“Tembakan tersebut menyebabkan lelaki yang dianggar berumur 40-an itu meninggal dunia di tempat kejadian. Setakat ini, identiti lelaki itu sedang dikenal pasti dan dipercayai rakyat tempatan berdasarkan suntikan BCG di lengan,” katanya, lapor Bernama.
Mohd Taib berkata, terdahulu, dua anggota unit kereta peronda polis terserempak dengan lelaki berkenaan bersama pump gun, di hadapan restoran itu, kira-kira jam 5 pagi tadi.
Beliau berkata, polis kemudian meminta lelaki tersebut menyerah diri, namun, dia enggan berbuat demikian.
Mohd Taib berkata, sejurus itu, lima lagi kereta peronda polis tiba di lokasi kejadian bagi memberi bantuan dan membuat kepungan.
“Semasa polis meminta lelaki itu menyerah diri, dia melepaskan satu tembakan ke udara dan kemudian menembak mulutnya,” katanya.
Mohd Taib berkata, dipercayai lelaki terbabit berada di lokasi berkenaan untuk melakukan cubaan samun dan tindakannya gagal berikutan kehadiran polis.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan