SINAR HARIAN
KOTA BHARU: “Awat..Mat kena tahan lagi ka..?” Itu reaksi terpacul dari mulut ibu Presiden Parti Amanah Rakyat (Amanah), Mohamad Sabu atau Mat Sabu ketika pertama beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.
Soalan itu diajukan kepada seorang rakan yang juga pemimpin veteran Pas Pulau Pinang yang ke rumah Mat Sabu untuk memberitahu perkara tersebut kepada ibunya.
“Bila sampai, minum air dan sebagainya, rakan saya pun memulakan perbualan dan belum sempat nak beritahu, mak saya dah tanya soalan itu.. Ibu saya memang sudah dapat mengagak perkara tersebut (ditahan ISA)," katanya ketika berucap pada majlis Tribute to ISA Detainess di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, kelmarin.
Turut hadir, kepimpinan tertinggi pembangkang termasuk bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pemimpin Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud dan Khalid Samad, bekas tahanan ISA dan wakil keluarga mereka.
Mat Sabu berkata, ibunya pernah memintanya berdiri ketika bertemunya kerana resah dengan berita kononnya beliau lumpuh sepanjang dalam tahanan.
“Satu hari, ibu saya datang jumpa saya dan minta saya berdiri, “Mat, berdiri sat”. Bila saya berdiri, dia jawab, “elok ja, tak dak apa pun, tak apa lah, duduk elok-elok ya”, rupanya di luar bising mengatakan saya sudah lumpuh dan bising mengatakan tahanan ISA diseksa dan sebagainya. Sejauh mana kebenaran itu saya tidak tahu,” katanya.
Katanya, beliau mempunyai ibu dan bapa yang sangat cekal dan tidak mudah patah semangat terutamanya apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku pada dirinya.
Malah Mat Sabu juga berkongsi, kecekalan dan kekuatan tersebut jugalah yang tersemai dalam dirinya untuk memperjuangkan hak rakyat dan negara yang telah dirosakkan selama ini.
“Ayah saya pun sama. Masa belajar dulu pun saya pernah kena tahan lokap. Bila rakan saya beritahu ayah, ayah hanya jawab, “kalau perjuangan anak saya betul, saya tidak kisah walaupun bawa mayat didepan rumah, saya terima semuanya”, terkejut rakan saya.
“Bila saya di lokap, kawan saya tanya ayah, “Pak ndak tak mau pi tengok dia ka”, dia hanya jawab, “Hehh...depa (mereka) bagi makan lah”, dan memang betul, dua minggu dalam lokap, tiada siapa pun datang jenguk saya,” ceritanya disambut tawa dan tepukan orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan