"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengantin pilih untuk bersanding dengan kambing (Gambar)

M FEISAL NORAWI

Mohd Fikri dan isteri Noor Ana pasti akan mengingati detik manis perkahwinan mereka apabila disandingkan bersama kambing peliharaannya.
TEMERLOH - Kerana minat dan sayangnya terhadap haiwan ternakan mencetuskan idea untuk seorang penternak membawa haiwan peliharaannya iaitu dua ekor kambing bersanding bersama pada hari bahagianya hujung minggu lalu.

Mohd Fikri Denan, 27, dan pasangannya Noor Ana Mami Johari, 29, pasti akan mengingati saat-saat manis apabila bersanding bersama dengan kambing peliharaannya dalam satu majlis di Kampung Belenggu di sini.

Mohd Fikri berkata, pada mulanya dia berhasrat untuk membawa lembu ke atas pelamin tetapi membatalkan hasrat kerana saiz lembu yang besar.

"Saya kemudian pilih kambing peliharaan kerana boleh dipangku dan naik sekali di atas pelamin ini," katanya.

Mohd Fikri berkata, idea untuk bersanding bersama kambing itu tercetus apabila dia memikirkan untuk mencari kelainan pada hari persandingannya.

Menurutnya, sebagai penternak dia merasakan idea terbaik ialah dengan membawa bersama haiwan peliharaannya untuk naik pelamin bersama dan ia sudah tentu berbeza dan tidak pernah dibuat orang.

Bagi pasangannya, Noor Ana berkata, dia pada mulanya gementar dan gugup sebab tidak biasa dengan kambing tetapi memberanikan diri apabila diyakinkan suaminya.

"Memang mula-mula rasa gementar sebab tak pernah pegang kambing apatah lagi di hadapan ratusan tetamu pula.

"Alhamdulillah majlis berjalan lancar, anak kambing pula ok, memberi kerjasama baik," katanya sambil ketawa.

Mohd Fikri seorang penternak dan juga peniaga lembu dan getah berasal dari Kampung Belenggu manakala Noor Ana berasal dari Kampung Sempadan, Lanchang.

Sebelum itu mereka diarak oleh pemuda bermotosikal dan menaiki lori yang digunakan oleh Mohd Fikri dalam perniagaan lembu dan getah.

Tiada ulasan: