"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berkawan Dengan DAP Adalah Pilih Yang Tepat

Shahbudin Husin
Semua orang tahu DAP adalah parti pilihan orang-orang Cina. Walaupun ia bersifat pelbagai kaum dan di dalamnya ada Melayu, India dan lain-lain kaum, tetapi lebih ramai orang Cina yang menyertai serta menyokongnya.

Kira-kira 80 hingga 90 peratus orang Cina sekarang ini bersama DAP. Sejak dua pilihanraya lalu memperlihatkan DAP telah mendapat sokongan majoriti yang ketara daripada pengundi Cina berbanding MCA dan Gerakan.

MCA dan Gerakan tidak boleh lagi dianggap mewakili kaum Cina. Mereka bukan saja kalah di banyak kerusi, malah di mana-mana kita boleh mendengar keluhan ketidakpercayaan kaum Cina sendiri kepada kedua-dua parti itu.

Bagi kaum Cina, MCA dan Gerakan sudah mati di hati mereka. Mereka tidak percaya lagi kepada parti itu. Ramai kaum Cina melihat MCA dan Gerakan adalah "parti cari makan" dan bukan benar-benar memperjuangkan nasib mereka.

Sehubungan itu, dalam konteks politik Malaysia yang pelbagai kaum, tindakan Tun Mahathir Mohamad merapatkan dirinya dengan DAP adalah suatu tindakan yang tepat dan betul.

Ini kerana PPBM, PKR dan Amanah adalah parti yang dikuasai oleh Melayu. Dengan merapatkan diri bersama DAP, PPBM dan Pakatan Harapan jelas ingin menawarkan keseimbangan politik kepada negara yang tentunya lebih mendatangkan kebaikan kepada rakyat.

Sebaliknya, Najib dan UMNO telah menyimpang jauh daripada daripada mahu mewujudkan keseimbangan kepada negara ini. Dengan UMNO sudah memiliki 88 kerusi Parlimen dan kemudian cuba berbaik serta berpakat pula dengan Pas, juga parti Melayu, Najib ternyata hanya ingin mengekalkan kuasa Perdana Menterinya secara mudah, tetapi mengabaikan keharmonian serta kestabilan negara.

Najib tidak sepatutnya cuba memikat Pas dan menghentam DAP jika beliau memikirkan kestabilan negara ini. Beliau seharusnya lebih dulu cuba mendekati DAP apabila melihat MCA dan Gerakan tidak lagi berfungsi.

Dan kalau pun DAP enggan berbaik atau bersama, Najib tidak seharusnya menghentam parti itu. Dengan disokong 80 hingga 90 peratus kaum Cina, menghentam DAP sama seperti menghentam kaum Cina.

Tindakan Najib berbaik-baik dengan Pas dan dalam masa yang sama menghentam DAP menunjukkan beliau sendiri yang menjauhkan kaum Cina daripada kerajaan yang dipimpinnya.

Najib tidak memikirkan kepentingan negara, tetapi hanya berfikir bagaimana untuk memudahkan kuasanya dapat dikekalkan.

Dari segi menawarkan kestabilan dan keharmonian, Pakatan Harapan yang turut akan disertai PPBM tidak lama lagi, tidak diragui adalah pilihan yang lebih baik berbanding BN yang semakin pincang perjalanannya.

BN, terutama sejak Najib dan UMNO merestui tindakan berbaik-baik dengan Pas, hanya menawarkan kerajaan sepihak tetapi cuba mengabaikan pihak yang lain.

PPBM, PKR dan Amanah yang majoritinya Melayu, disokong pula oleh DAP yang mewakili kaum Cina dan terdapat juga Melayu di dalamnya, tidak saja menjamin keharmonian dan kestabilan kepada negara kerana mewakili semua pihak, bahkan menjadikan kuasa Melayu lebih merata serta melebar jadinya.

Kuasa Melayu yang tertumpu kepada satu parti saja lebih mendorong kewujudan "penyamun" kepada harta negara, yang kemudian merangsang pula diwujudkan sikap wala' yang keterlaluan apabila merasakan kuasa dalam genggaman mula terancam
-http://shahbudindotcom.blogspot.my

Tiada ulasan: