"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pesuruhjaya PAS, Hasan Ali diarah bayar Khalid Samad RM200,000

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas exco Selangor dan pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali, membayar ganti rugi RM200,000 kepada Khalid Samad.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng berkata, mahkamah mendapati Hasan bersalah memfitnah anggota parlimen Shah Alam itu berdasarkan keterangan plaintif dan dua saksi.

Katanya, kenyataan itu telah menjejaskan imej Khalid di mata masyarakat.

"Dakwaan tidak berasas defendan telah menyebabkan kebencian awam dan beliau menanggung akibat daripada tindakan itu," katanya dalam penghakiman.

Hue juga mengarahkan Hassan membayar kos sebanyak RM35,000.

Sementara itu peguam Hasan, Hasnal Rezua Merican, berkata pihaknya akan membuat rayuan atas penghakiman berkenaan.

Khalid dan Hasan tidak hadir di mahkamah hari ini.

Hasan didakwa menuduh Khalid - ketika itu anggota Jawatankuasa Pusat PAS - menggalakkan penjualan arak dan kewujudan rumah-rumah urut di Selangor.

Justeru, kata Hasan yang ketika itu berucap pada suatu majlis forum terbuka sebelum pilihan raya umum ke-13, orang ramai tidak wajar mengundi Khalid.

Khalid kini tidak lagi bersama PAS dan dilantik sebagai pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH).

Beliau diwakili peguam Faiz Fadzil.

Terdahulu sebelum keputusan dibacakan, Hue juga menolak permohonan Hasan untuk mencabar keputusan mahkamah yang menolak pembelaannya pada 16 Disember lalu.

Kata hakim, permohonan Hasan itu tidak mempunyai merit dan afidavitnya yang mengesahkan dia tidak dapat hadir di mahkamah pada hari berkenaan kerana mengerjakan umrah sebagai mengelirukan.

"Dia kononnya mendakwa mengerjakan umrah tetapi mahkamah mendapati terdapat kecenderungan untuk mengelirukan kerana tiada bukti menyokongnya," kata Hue.


Kesan daripada penolakan permohonan pembelaan itu serta kegagalan mematuhi arahan mahkamah, Hasan akhirnya tidak memberi keterangan.

Khalid memfailkan saman pada tahun lalu.
-malaysiakini

Tiada ulasan: