"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amaran TMJ pada Annuar Musa: Usah jolok sarang tebuan

KETIKA isu berkaitan bola sepak tanahair semakin hebat diperkatakan mutakhir ini, tulisan terbaharu di Facebook Johor Southern Tigers oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelihatan agak sinis.

Tulisan terbaharu itu dipercayai respons kepada kenyataan bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa di Facebook milik Ketua Penerangan Umno itu baru-baru ini.

"Tarikh untuk rakyat negara keluar mengundi sudah hampir, oleh itu jangan cuba menjolok sarang tebuan kerana kelak buruk padahnya.

"Kepada Tan Sri, jangan jadi liabiliti kepada parti anda. Anda sendiri jelas mempunyai kepentingan diri sendiri dalam parti. Ingatlah bahawa anda berkhidmat kepada rakyat," demikian teguran Tunku Ismail yang mesra disapa TMJ.

Teguran itu rentetan daripada komentar mengenai isu fasiliti milik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

Mengulas lanjut perihal itu, TMJ menjelaskan, kesemua stadium di negeri Johor sememangnya milik Kerajaan Negeri Johor.

"Dan kerajaan tersebut pula adalah milik Siapa? Milik DYMM Sultan Johor yang telah wujud sejak tahun 1885. Itu bererti terpulanglah kepada DYMM Sultan Johor untuk bagaimana menggunakan semua milik kerajaan negeri.

"Jangan samakan negeri Johor dengan negeri lain. Johor sudah wujud sebelum kemerdekaan, dengan cara tersendiri, dan dengan sistem berpelembagaan tersendiri sejak 1885. Negeri Johor juga adalah kubu kuat parti pemerintah sekarang," tegas TMJ.

Beliau dalam nada sinis turut mengingatkan Annuar supaya bertanggungjawab di atas "atas kegagalan dan ketidak urus Kafa hari ini."

"Janganlah Tan Sri bagaikan nakhoda bertempiaran lari meninggalkan bahtera bila berhadapan ombak besar. Sedangkan Kafa pun Tan Sri tak boleh nak urus, elok Tan Sri lupakan hasrat menerajui bola sepak negara," tambahnya lagi.

TMJ turut menjawab dakwaan kononnya JDT merosakkan pasaran bola sepak Malaysia dengan membayar gaji pemain terlalu tinggi.

"Sistem bola sepak negara kita kini sudah berdaya maju, dan tidak wujud mengenai pasukan lain tidak mampu untuk bersaing atau beraksi dalam liga. Ianya berkenaan dari kebijaksanaan mengurus wang.

"Ianya satu perkiraan yang mudah, JDT paling ramai boleh mendaftar dalam 27 hingga 30 orang pemain tempatan sahaja dalam satu masa. Berapa ribu pemain yang ada dalam negeri ni? Jikalau anda nak menandatangani pemain yang sama memanglah duit anda akan habis.

Katanya, "terpulang kepada JDT untuk membayar berapa tinggi sekalipun gaji pemain kami. Masih ada ramai lagi pemain lain yang boleh bermain dan tidak perlulah bersaing dengan JDT untuk mendapatkan pemain yang terbaik. Ikutlah kemampuan dan jangan sibuk bersaing dengan cara JDT."

Jelas TMJ, sebelum Annuar hendak memberikan komen mengenai kelab atau negeri lain, uruskanlah Kafa terlebih dahulu.

"Tidak payah buang masa untuk sibuk mengenai urusan pasukan atau kelab lain.

"Selesaikan dulu hutang piutang sebanyak RM6.7 juta terlebih dahulu sebelum bercakap hal-hal yang lain. Janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati," ujarnya.
-sinarharian

Tiada ulasan: