ARIF ATAN
Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan pendirian Pas termasuk terbaharu berhubung kerjasama dengan PKR seperti 'orang main dam aji kalih tudung botol'.
Hal ini ujarnya dapat dilihat pada kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah baru-baru ini yang mendakwa parti yang tidak berpayung di bawah Pakatan Harapan itu terbuka untuk kerjasama dengan PKR.
"Tak sampai dua bulan, pendirian Pas berubah terhadap Keadilan. Sebelum ini, timbul urat leher pemimpin Pas beritahu, Pas lebih kuat dan sanggup berdepan sesiapa saja secara bersendirian.
"Akhirnya, tak sampai dua bulan Pas mengaku kalah. Pas sedar bersendirian masuk pilihan raya maksudnya bersendirian jugalah ia menggali kuburnya sendiri," bidasnya dipetik dari catatan beliau di Facebook hari ini.
Untuk rekod, Dewan Ulama Pas meluluskan usul putus hubungan dengan PKR pada 27 April lalu yang kemudian disahkan Majlis Syura parti itu pada 11 Mei.
Walau bagaimanapun, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan semalam berkata, Pas 'membuka ruang pada semua' kecuali DAP dan Amanah bahkan meyakini gabungan partinya bersama PKR dan Bersatu berpotensi untuk menumbangkan BN.
Sehubungan itu, Zolkharnain melihat Pas tidak tetap pendirian bahkan menjual prinsip memandangkan parti dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersebut bertegas tidak akan bersama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan Amanah dan DAP.
"Sebelum itu lagi, bukan main tegas Pas pasakkan pendirian tak akan bekerjasama dgn mana-mana parti yg bekerjasama dgn DAP dan Amanah.
"Keadilan bukan parti Islam tapi parti sekular pragmatik. Demikian label Pas kepada Keadilan. Kini, semuanya berkalih macam orang main dam aji kalih tudung botol. Tiada pilihan, kalih pun kalihlah, asalkan boleh main dam politik kluk klek," ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perlis berpendapat perkataan dasar Islam dalam perlembagaan parti bulan itu seperti asap setanggi untuk menutup bau sebenar 'rumahtangga' Pas.
"Minggu lepas, perjuangan ini demi agama, minggu ini perjuangan ini demi undi. Tahun lalu, kita akan berjuang bersendirian demi prinsip. Tahun ini, kita terbuka untuk berkawan. Dah jual prinsip? Lidah bergulung, bahkan bercabang juga.
"Pas sebenarnya tidak konsisten dengan pendirian politiknya. Di dalam bilik-bilik rumah Pas ada kain pelikat dan serban tak berbasuh, ada lampin tidak berbuang dan ada longgokan sampah yang berulat. Bau setanggi dasar Pas menutup semua bau hapak itu," selarnya.
Namun, jelasnya, bau setanggi berkenaan pada masa ini semakin tewas dengan bau hapak itu menyebabkan pemimpin Pas kelam-kabut memanggil orang itu dan orang ini untuk bersamanya, kononnya menikmati bau setanggi.
"Padahal dari jauh orang sudah terbau hapaknya. PPBM (Bersatu) juga diajaknya, padahal sebelum ini mereka menolak Tun Mahathir yang kini mengetuai PPBM. Semua buruk Tun M diungkit. Tapi kini? Boleh berkirakah politik hapak sebegini?" soalnya.
Mengakui hak Pas untuk menyusun langkah politiknya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini, Ustaz Zolkharnain mengingatkan supaya rakyat perlu diberitahu tentang sikap parti tersebut.
"Parti politik seperti Pas bukanlah parti yang sesuai untuk menjadi platform kepada aktivis politik bermaruah. Parti itu hanya sesuai untuk mereka yang suka beretorik dan bergurindam politik," tegas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan selepas Pilihan Raya Umum 1999 itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan