"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR Kelantan kian bergolak?

Ada yang gelora belum selesai dalam PKR Kelantan nampaknya.

Siang tadi seorang pemimpin peringkat cabang parti itu dikejutkan dengan gelaran "gila" semasa menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin di Machang.

Pengarah Pilihan Raya PKR Kota Bharu Ahmad Syauqey Abdul Ghani berkata dia dilabel begitu oleh Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan Ab Aziz Ab Kadir.

"Saya memang terkejut. Saya cuma mengambil tanggungjawab sebagai posmen untuk menyampaikan rasa tidak puas hati anggota parti kepada MPN Kelantan.

"Rasa tidak puas hati anggota parti itu ada dinyatakan dalam memorandum berkenaan," katanya.

Sebagai pengerusi PKR negeri, kata Ahmad Syauqey, Ab Aziz sepatutnya menganjurkan konvensyen bagi mendengar pandangan anggota parti, bukan menuduhnya gila.

Menceritakan kejadian itu, Ahmad Syauqey berkata, dia menghulurkan memorandum terbabit kepada Zuraida yang ketika itu berada di bangku belakang sebuah kereta.

Ketua Komunikasi PKR Kelantan Mohd Sukirman Mustafa menjadi pemandu dan Ab Aziz duduk di kerusi depan.

Menyertai Zuraida ialah Ketua Wanita PKR Kelantan Noraini Hussin.

Memang sedang marah

Semalam Malaysiakini melaporkan Ahmad Syauqey mengakui sedang mengumpul sokongan anggota peringkat akar umbi bagi mendesak kepimpinan pusat menggantikan Ab Aziz sebagai pemimpin di Kelantan.

Secara umum, katanya, memorandum itu menyatakan anggota parti tidak lagi meyakini sebahagian besar pimpinan MPN, kegagalan menguruskan isu peletakan jawatan lantikan politik dan kedudukan PKR yang tidak diperkukuhkan di Kelantan.

PKR Kelantan bagaimanapun menafikan parti itu berdepan perpecahan. Malah Mohd Sukirman memberitahu Malaysiakini semua 14 ketua cabang serta ketua wanita serta pemuda di Kelantan sudah menyatakan ikrar menyokong kepimpinan Ab Aziz.

Sementara itu Ab Aziz ketika dihubungi berkata kejadian itu belaku apabila Ahmad Syauqey cuba menerjah mereka untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

"Memang saya marah tadi, Saya dalam kereta dengan YB Zuraida, dia terjah nak serah memo atau surat layang.

"Saya tengking perbuataan tu (sebagai) gila," katanya.

Mereka berada di Machang sempena pelancaran Pakatan Harapan (HARAPAN) peringkat Kelantan.

Majlis itu dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen HARAPAN termasuk pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Zuraida hadir mewakili Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya mengenai kandungan memorandum itu Ab Aziz berkata, ia sama seperti kandungan "surat layang" yang tersebar sekarang.

"Tan Sri Annuar Musa pun khabarnya tolong sebar sama," katanya.

Di sebalik penegasan MPN negeri itu, Timbalan Ketua PKR Kelantan Mohamad Roslan Puteh mengesahkan beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan.

Bercakap kepada Malaysiakini Roslan berkata surat mengenai peletakan jawatan itu dihantar ke ibu pejabat PKR pada 16 Ogos lalu.

"Saya tak boleh bagi komen lebih lanjut kerana pusat (ibu pejabat PKR) belum membuat keputusan tentang peletakan jawatan itu," katanya yang juga anggota dewan undangan negeri bagi kawasan Guchil.
Sementara itu sumber berkata rasa tidak puas hati pemimpin di peringkat cabang memang meluas namun masing-masing enggan menyatakannya secara terbuka.

Antara cabang yang disebutnya tidak berpuas hati dengan pendirian PKR negeri ialah Kuala Krai, Kota Bharu dan Jeli.

"Mohamad Roslan sendiri adalah antara orang yang kuat menyokong memorandum berkenaan," katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: