Di mata kebanyakan orang tidak banyak membezakan kehebatan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi tetapi berbeza dengan legenda bola sepak dunia, Zinedine Zidane.
Bagi Zidane Ronaldo adalah pemain terunggul untuk generasinya dan tiada mana-mana pemain mampu menjadi pencabar terdekat.
Kenyataan bersahaja bekas pemain antarabangsa Perancis itu secara tidak langsung menafikan kehebatan bintang Argentina dan Barcelona, Messi.
"Ronaldo ialah pemain jauh lebih baik untuk generasinya.
"Dia membawa perubahan dalam perlawanan penting dan berhak mendapat anugerah," katanya awal pagi tadi.
Zidane, 45, membuat kenyataan itu untuk memuji Ronaldo, 32, yang diumum sebagai pemain terbaik dunia oleh Fifa awal pagi tadi.
Selain Messi, 30, seorang lagi finalis untuk anugerah itu ialah pemain Brazil, Neymar, 25, yang kini bermain untuk Paris Saint-Germain.
Tuah kala jengking
Pengumuman dibuat Maradona dan seorang lagi bintang bermama Ronaldo, iaitu Ronaldo Luis Nazario de Lima dari Brazil di majlis yang berlangsung di London itu.
Zidane sendiri mendapat pengiktirafan oleh Fifa pada majis sama apabila diumum sebagai jurulatih terbaik dunia mengatasi Massimiliano Allegri (Itali/Juventus) dan Antonio Conte (Itali/Chelsea).
Zidane ketika ini membimbing kelab mewah La Liga, Real Madrid, dan Ronaldo adalah salah seorang pemainnya.
Sementara itu pemain antarabangsa Perancis serta penyerang Arsenal, Olivier Giroud, mengungguli anugerah Puskas yang mengiktiraf jaringan tercantik.
Giroud, 31, melakukan aksi menarik ketika mewakili The Gunners menentang Crystal Palace pada 1 Januari lalu.
Jaringan 'kala jengking' Giroud itu membolehkan Arsenal mengalahkan Palace dengan 2-0.
-malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan