"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Demokrasi versi Nik Aziz

Pada suatu malam berembun bertempat di padang pekan kecil bernama Melor di Kota Bharu, sekali lagi Tok Guru membuka minda khalayak agar cuba menghargai peranan minda.

Malam itu 29 Ogos 1996.

Tentu sekali hal ini cukup jarang dilakukan oleh penggiat dakwah dan pemacu gerakan, tetapi inilah yang telah dan sering dilakukan Tok Guru sepanjang waktu.

“Di sana (akhirat), orang tok tanya, bakpo (kenapa) mu tak turut Nik Aziz. Bakpo mu tak turut Ku Li. Bakpo mu tak turut Datuk Mahathir. Dok (tak), Tuhan tok tanya tu. Hok Tuhan tanya, bakpo mu tok turut fikiranmu sendiri yang Aku bui (beri) mata, Aku bui telinga, Aku bui otak untukmu mmikir (berfikir).

"Ingat mmolek (ingat elok-elok), kito ni akil baligh belaka dah. Bila umur 15 tahun alah katah (ke atas), kita bebas berfikir sendiri mengikut kaca mata yang diberi oleh Allah.

"Mata: Allah Ta’ala memberi mata sebagai pukat kita, jala kita. Kita buat cari ikan. Mata, telinga Allah Taala beri untuk kita cari ilmu pengetahuan. Daripada ilmu inilah menjadi maklumat yang boleh kita betulkan bahtera hidup kita di muka dunia.

"Mata menengok. Nak tengok alam ni ko (kah), nak tengok Quran ko, nak tengok siapa pun, tengok lloh ggi lah.

"Telinga: Telinga pula, nak dengar ceramah ko, nak dengar khutbah ko, nak dengar orang bbua (berbual) ko, nok dengar begapo (nak dengar apa sekali pun) dengarlah. Asalkan benda itu setelah kita masokkan (masukkan) ke dalam fikiran kita dan otak kita, kita proses.

"Bukalah minda: Berdasarkan kepada ‘ni lah (inilah), dmano (di mana) saja orang ceramah, kita keno gi (kena pergi), dmano saja orang kuliah, kita keno ggi, dmano saja orang buat usrah; kito keno ppakat ggi (kita kena pergi beramai-ramai). Hasil daripada itulah kita dapat maklumat dan dapat buat pertimbangan.

"Pah tu (selepas itu), buatlah keputusan sendiri untuk memperbetulkan kedudukan kita.”

Contoh kelincahan menjawab

Inilah prinsip kebebasan berfikir dan roh demokrasi yang tekun ditiup Tok Guru Nik Abdul Aziz saban hari. Membesar dalam kata-kata ini, rakyat Serambi Mekah rata-rata berpuas hati dengan iklim demokrasi yang disediakan olehnya setiap kali mereka menguak jendela pagi; menilik pelbagai isu terhidang di dada akhbar justeru mereka pun tahu yang menteri besar mereka juga seorang yang celik isu.

Bahkan, mereka ghairah menunggu apakah jawaban Tok Guru apabila datang isu-isu yang sedang menggeliat minda. Mereka ternanti-nanti, apa yang akan dikatakan oleh sifu mereka.

Mari kita dekati tiga contoh yang dimaksudkan:

Tuhan samseng
Serangan yang dilakukan berpunca daripada kata-kata “antara 99 nama-nama Tuhan tidak terdapat samseng.”

Jawab Tok Guru: “Isu Tuhan samseng soal terjemahan dan bukan isu akidah.”(Berita Minggu, 22 Jun 2003).

Umno nak jadi imam sembahyang
“Badan perhubungan Umno Perak putus mahukan YB dan ketua-ketua bahagian Umno mengimamkan solat di masjid.” (Berita Minggu, 9 Jan 2005).

Jawab Tok Guru setelah diserbu wartawan sehari selepas itu: “Ini benda baru yang cuba diimport oleh pemimpin Umno ke dalam parti kebangsaannya. Setelah hampir 50 tahun, barulah Umno mula terasa penting peranan Islam yang perlu dimainkan oleh ahli politik.

"Jika orang bertanyakan pemimpin Umno, apa yang telah dibuat oleh YB dan ketua-ketua bahagian parti Umno selama ini, maka janganlah pula mudah melenting.”

Nik Aziz vs Hishammuddin Hussien
Berikutan kebuntuan yang diluahkan oleh Menteri Pendidikan merangkap Ketua Pemuda Umno Malaysia ketika itu, Datuk Hishammuddin Hussein, tentang gejala maksiat di kalangan pelajar yang dilihat kian kronik di suatu masa, dalam sinis, Hishammuddin menyinggung Tok Guru dengan cabaran: “Kementerian akan menerima walaupun ia (pandangan itu) datangnya daripada Nik Abdul Aziz”. (Mingguan Malaysia dan Harian Metro, 23 Mei 2004)

Terasa yang inilah ruang demokrasi yang sentiasa ditunggu-tunggunya, Tok Guru memberi reaksi balas terus dengan menulis surat kepada Hishammuddin.
Berikut ialah kandungan surat berkenaan:
“Yang Berhormat, sungguhpun saya menghargai pelawaan YB, tetapi saya barangkali tidak dapat menerima yang saya kononnya hanya melihat sesuatu masalah itu dengan jalan yang mudah.

"Maksiat adalah maksiat. Ia amat serius. Bagaimana saya akan melihatnya sebagai mudah jika ia dianggap serius disisi Allah SWT?

"Suka saya ingatkan bahawa maksiat yang saya maksudkan di sini ialah maksiat dalam takrifnya yang asli dan tradisional iaitu bermaksiat kepada Allah. Perihal seriusnya lagi gejala maksiat ini apabila maksiat itu menjadi berleluasa,

“Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus.” (al-Qiyamah : 5).

"Allah SWT pernah bersumpah berbunyi: “Demi (rombongan) yang melarang dengan sebenar-benarnya (dari perbuatan-perbuatan maksiat).”

"Manakala dalam Kamus Dewan edisi ketiga pula mentakrifkan maksiat sebagai “perbuatan yang melanggar perintah Allah atau perbuatan yang berdosa.”

"Sementara itu, kamus pelajar terbitan khas KBSM DBP pula menyebutkan maksiat sebagai “perbuatan buruk yang dilarang oleh Allah atau perbuatan yang berdosa (seperti minum arak, berzina dan lain-lain).”

"Saya berharap YB pun turut boleh menerima takrif tersebut. Saya kira, kita telah membekalkan definisi yang mencukupi untuk bermula. Mari kita mulakan dengan premis yang betul dari sekarang.

"Setelah merdeka 47 tahun lalu, Malaysia melahirkan dua lapis generasi. Jika kita sama-sama jujur dengan diri sendiri, kita terpaksa akui yang dua lapis generasi itu semakin tipis nilai akhlaknya.

"Di sini, tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan acuan. Di peringkat kementerian, tentu ia amat berkaitan dengan portfolio Yang Berhormat.

"Yang Berhormat, setahu saya, pendidikan lebih sinonim dengan adab. Perkataan itu lebih komited dengan proses mengasuh, menjaga, dan memberi ta'dib bagi melahirkan insan yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sifatnya sepanjang hayat, dari buaian ke liang lahad.

"YB, Islam tidak bermula dari buku-buku yang ditulis oleh bijak pandai. Ia tidak bertolak dari manusia. Walaupun YB melihat jawaban yang saya pernah beri dan akan saya kemukakan ini berkepentingan politik sempit tetapi saya juga perlu memberi maklum bahawa Islam itu tidak sesempit fikiran mereka yang salah faham. Orang yang faham akan melihat dan merasai keluasannya.

"YB, seluruh alam, langit dan bumi, manusia dan makhluk sama ada benda dan bukan benda adalah ciptaan Allah SWT. Teori sebab musabab dalam dunia sains terkini pun mengakui hakikat ini.

"Selaku muslim, kita wajib beriman dan meyakini kenyataan berkenaan. Selaku pemerintah yang Islam, kita ada kitab suci al-Quran. Pemimpin Islam mesti berfikir secara Islam.

"Saya sesungguhnya tidak faham bagaimana YB boleh menuduh saya mempunyai kepentingan politik sempit sedangkan Islam yang kami cuba bangunkan adalah Islam berlandaskan peraturan al-Quran. Sifat relevan Islam luas dan berjarak jauh. Dimensi kebahagiaan yang dijamin-Nya adalah dari dunia sampai ke akhirat.

"Benda yang Islam kata berdosa sepatutnya disebut oleh kerajaan sebagai salah. Akan tetapi, suasana yang berlaku sekarang jauh berbeza. Apa yang disebut berdosa tiba-tiba tidak disebut salah oleh kerajaan. Inilah masalahnya dengan kerajaan sekular.

"Ini mencelarukan fikiran rakyat. Inilah punca utama kekacauan sosial dan gejala maksiat.

"Lama kelamaan, amalan ini menghakis keyakinan dan keimanan umat.

"Dalam apa jua penyelesaian, YB perlu terlebih dahulu kembali kepada perkara takwa. Takwa wajib dipupuk di semua peringkat. Bermula daripada takwa, manusia hanya akan takut kepada Allah.

"Dengan takwalah manusia dianugerahkan kemuliaan. Firman Allah SWT bermaksud: Orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa.” (al-Hujjurat : 13).

"Allah turut mencintai orang-orang yang bertaqwa. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa (sebahagian daripada surah ali-Imran : 76.)

"Mereka dijamin tidak meragui al-Quran. Mereka akan sentiasa mendapat petunjuk. Mereka akan mendirikan solat. Mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki. Mereka beriman kepada al-Quran dan kitab-kitab. Mereka yakin adanya kehidupan akhirat. Mereka adalah orang-orang yang beruntung.

“Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu. Maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka” (al-A’raf : 96).

"Di peringkat ini, izin pula saya bertanya YB - sudahkah kurikulum pendidikan kita di semua peringkat memberikan tempat yang mencukupi bagi berkembangnya nilai-nilai takwa seperti di atas?

"Di sini YB perlu jujur memberikan jawaban. Jika belum dibuat, maka saya cadangkan ia dimulakan dari sekarang. Saya tidak nampak bagaimana jasmani, emosi, rohani, dan intelek pelajar boleh subur jika tidak ditunjangi nilai takwa.

"Kedua, kita perlu menganggap murid-murid sebagai anak-anak kita. Islam - misalnya - menetapkan kaedah menggalak dan melatih anak-anak agar mulai belajar sembahyang sejak berusia tujuh tahun. Mereka boleh dirotan (dengan semangat mengajar) mulai usia 10 tahun.

"Mulai usia 10 tahun juga, anak lelaki dan anak perempuan perlu diasingkan tempat tidurnya. Ilmu tentang baligh, haid dan nifas, nafsu dan akal, syaitan dan malaikat, dosa dan pahala, wajib dan sunat, haram dan halal, mubah dan makruh.

"Semua peraturan-peraturan yang saling melengkapi. Maka, hiduplah mereka dalam satu sistem disiplin yang berangkai, teratur dan syumul. Dalam solat misalnya mereka diperkenalkan dengan lafaz “Allahuakbar” yang hanya membesarkan Allah dan menentang syirik.

"Di sana ada al-Fatihah yang sarat dengan maksud mendalam mengenai pengertian Islam dan tata hidup bersusila. Adab dan akhlak berkomunikasi dengan ayah, ibu, guru, jiran, sahabat, meliputi batas lelaki dan perempuan amat sinonim dengan Islam.

"Batas disiplin berpakaian dan berhias juga turut ditentukan. Lihatlah Surah Luqman dari ayat 12 hingga ayat 19 untuk mengesahkan lagi asas-asas ta'dib yang saya sebutkan ini. Jika semuanya ini tiada dalam kaedah pendidikan kita, maka inilah punca gejala maksiat.

"Ketiga, penerimaan Islam dan pelaksanaan harus dibuat secara kaafah (menyeluruh). Dasar pendidikan bertunjangkan akidah, iman dan akhlak ini perlu didukung dasar lain melalui penyelarasan polisi kementerian-kementerian di semua sektor.

"Dasar pendidikan yang mempunyai kesedaran takwa dan adab yang komited; mustahil dapat berfungsi jika suasana pembangunan sektoral yang melingkunginya sangat bersifat antitakwa.

"Dasar penyiaran misalnya, wajib bergerak serentak dalam menyuburkan benih iman. Contoh pengeluaran lesen arak yang berleluasa, kelulusan lesen dan premis judi, majalah-majalah separa lucah yang bersepah, berleluasanya penulisan yang memperkecil-kecilkan al-Quran dan hadis.

"Jika semua dasar kerajaan dihimpunkan setempat, amat jelas yang ia saling bercanggahan. Usaha pendidikan di sekolah berdepan terus dengan usaha-usaha antiakhlak di luar pagar sekolah.

"Ia tidak saling membantu. Anehnya, ia dilaksanakan oleh kerajaan yang sama - diungguli oleh Umno dengan YB adalah salah seorang menterinya.

"Nampak seolah-olah dasar kesenian misalnya, boleh menghalalkan apa sahaja demi kemajuan industri pelancongan. Inilah paradoksnya dunia pendidikan kita.

"Umno mendidik sambil meruntuh. Apabila suasana kronik, mulalah seluruh ibubapa, PIBG, pasukan polis dan guru dipaksa menanggung beban kesalahan.

"Ulama dikerah turun padang. Apa sangatlah kudrat ulama mengubah apabila kerajaan sendiri tidak berhajat pun untuk berubah?

"Kerajaan sendiri mengajar maksiat, bersubahat dengan maksiat dan kadang kala turut aktif melakukan maksiat, sekali gus mengkhianati apa yang diamanahkan. Sebenarnya, seluruh sektor kehidupan bernegara kita ini sudah sakit.

"Kita perlukan reformasi menyeluruh. Kita tidak mampu lagi setakat menitik ubat “eye-mo” ke dalam mata atau menukar kaca mata kerana yang rosak adalah tubuh Malaysia yang sekular itu sendiri secara menyeluruh.

"YB, dalam batas perlembagaan, kerajaan negeri memainkan peranannya yang tersendiri. Moto kami ialah “Membangun Bersama Islam”. Antara lain, apa yang sedang kami laksanakan adalah seperti berikut:


  • Menekankan prinsip amalan ubudiyah, masuliyyah, dan itqan di kalangan pemimpin politik, penjawat awam, dan masyarakat pada amnya;
  • Mengasaskan belanjawan tahunan negeri atas prinsip jimat dan belanja berhemah;
  • Mengendalikan urusan kewangan kerajaan negeri mengikut sistem kewangan Islam;
  • Cuba membuktikan komitmen antiriba dengan mengasaskan sistem pajak gadai ar-Rahnu yang sedang giat berkembang;
  • Mengadakan kempen menggalakkan wanita menutup aurat;
  • Menganjurkan kempen tahunan bulan sembahyang Ihya’ Ramadhan dan Hari Hudud;
  • Melantik sebahagian penghulu tanpa mukim/ahli majlis perbandaran/daerah dari saudara kita kaum Cina, Siam dan India;
  • Melantik penghulu wanita;
  • Mengiktiraf semua manusia adalah bersaudara;
  • Memastikan semua rumah awam kos rendah mempunyai 3 bilik untuk mengawal gejala keruntuhan akhlak;
  • Tidak menyediakan premis judi dan sentiasa memberi tazkirah terbuka tentang bahaya judi;
  • Meluluskan Enakmen Kanun Syariah II dan Hudud pada 1993;
  • Memberikan cuti dua hari seminggu dan menambah cuti bersalin;
  • Menteri Besar dan semua exco sendiri mengetuai ceramah, berkhutbah Jumaat dan memimpin kuliah agama di serata masjid dan surau;
  • Memperkenalkan sekolah-sekolah tahfiz sains yang mengembangkan program pendidikan bersepadu di antara subjek akademik dan mata pelajaran fikah, sirah, akhlak, tauhid, hafazan, balaghah, nusus, mantik, tasawwur dan mutala’ah.
  • "Ia disusun rapi dalam rangka melahirkan pemimpin dan insan yang serba boleh dan serba cemerlang. Usaha ini sedang giat berlaku. Kami cuba lahirkan kumpulan pelajar yang pintar berkepakaran tetapi sekali gus masih membawa sifat-sifat alim dan gerunkan Allah SWT.

"Ringkasnya, Malaysia sesungguhnya memerlukan sebuah reformasi besar-besaran. Rombakan fikrah pemimpin Umno bertaraf menteri sangat utama didahulukan sebelum memikirkan transformasi akhlak remaja dan rakyat jelata di akar umbi.

"Jika tidak, usah bercakaplah soal bersedia melakukan islah dan pemulihan.

"Ini pun saya masih ragu sama ada YB mempunyai kekuatan dan kesabaran untuk menghabiskan tulisan saya ini yang disifatkan amat berterus terang. Saya berani mencadangkan semua ini kerana YB juga yang meminta saya mengemukakan cadangan.

"Jika boleh saya meminta, sukacita dapat kiranya YB meneliti teguran dan peringatan ini. Emosi dan nafsu tentunya terlalu hina untuk digunakan bagi mengamati panduan-panduan yang telah diatur oleh Allah SWT.

"YB, dalam mendidik, Islam mengisytiharkan Iqra’ iaitu desakan untuk membaca yang berpusat kepada keagungan Allah SWT. Islam tidak pernah mengizinkan proses pembelajaran untuk sekadar menimba ilmu semata-mata sehingga melupai kedaulatan Allah.

"YB, berilah sedikit waktu untuk mencari lapis-lapis makna yang tersirat dari surah Thohaa. Izin saya petik dua ayat: “Thohaa. Kami tidak menurunkan al-Quran ini agar kamu menjadi celaka”. (Thohaa : 1-2).

"YB, di hadapan Allah SWT nanti, saya akan menjawab bahawa saya telah menegur seorang menteri bernama Hishammuddin bin Hussien - pernah di satu hari, di satu masa, di satu ketika sewaktu di dunia.”

Kini bagaimana?

Meneliti kandungan surat di atas, tahulah kita betapa uniknya amalan demokrasi yang diketengahkan oleh Tok Guru pada era itu. Telus dan terus - dia menegur Umno selaku pemerintah dan bukan yang selainnya. Ini justeru PAS pada waktu itu tahu yang dia sebuah parti oposisi yang memikul amanah demi memperbaiki.

Kini, saksikan sendiri sikap para pemimpin yang menggantinya. Berasaskan isu-isu seputar - tanpa perlu mempengaruhi - buatlah penilaian dan keputusan tuan-tuan yang sebaik-baiknya.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: