"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno-BN Johor semakin resah, Kubu-kubu tradisi ditembusi

AMNI JAGAT
Selain Felda, kubu Umno-Barisan Nasional (BN) adalah di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), dan kubu-kubu itu kini telah mulai pecah di negeri Johor.

Menurut Pengerusi Pusat Peduli Rakyat N41, Puteri Wangsa Suhaizan Kaiat, dalam program Jelajah Keadilan Peduli Rakyat yang diadakan di PPR Desa Mutiara, Tebrau baru-baru ini yang menampilkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali selaku undangan khas, sambutan yang diberikan adalah luar biasa. Ribuan penduduk pelbagai bangsa dan agama hadir mendengar ucapan bersemangat MB Selangor itu.
Pimpinan Pakatan Harapan dalam program Jelajah Keadilan Peduli Rakyat yang diadakan di PPR Desa Mutiara, Tebrau baru-baru ini.

Menurut Suhaizan yang merupakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor itu lagi, kehadiran luar jangka itu telah membuatkan Umno bersama sekutunya menjadi resah.

“Kehadiran cukup memberangsangkan kerana selama ini kita ketahui PPR adalah tempat yang terkenal sebagai kubu Umno, dan kini ia sudah mulai pecah berdasarkan mereka yang hadir.

“Selain itu, tindakan yang dikenakan ke atas penganjur program Jelajah Keadilan Peduli Rakyat sehingga kehadiran MB Selangor dihalang daripada memasuki kawasan PPR Desa Mutiara oleh pihak Umno Cawangan di situ, menjelaskan sesuatu.

“Ia menandakan ketakutan mulai menjelma dalam Umno sehingga tindakan yang tidak bertamadun sebegitu diambil ke atas program yang meraikan masyarakat setempat di kawasan PPR Desa Mutiara, Tebrau,” kata Suhaizan Kaiat.
Program Jelajah Keadilan Peduli Rakyat yang diadakan di PPR Desa Mutiara, Tebrau yang dihadiri MB Selangor Azmin Ali mendapat sambutan luar biasa.

Dalam masa sama, Suhaizan menyatakan rasa kesal dengan tindakan menghalang program jelajah tersebut kerana mereka yang hadir terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer untuk sampai ke tapak program berkenaan.

“Tindakan Umno itu dilihat seperti tidak berperikemanusiaan apabila mereka sanggup membiarkan penduduk di PPR yang mahu ke ceramah itu terpaksa berjalan kaki keluar dari kawasan PPR Desa Mutiara sejauh kira-kira satu kilometer dari kediaman mereka.

“Ternyata ketakutan yang memuncak ini mulai dirasai oleh pihak Umno bukan setakat halangan menjalankan program di kawasan PPR itu sahaja, malah bendera parti Pakatan Harapan terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut diturunkan dan dirampas.

Program itu turut dihadiri oleh Presiden ANAK Peneroka, Mazlan Aliman dan pimpinan daripada parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Tiada ulasan: