"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masalah sampah, tiada peluang kerja dorong rakyat Kelantan tinggalkan PAS

Diyana Ibrahim, Sheridan Mahavera

Masalah sampah, peluang kerja dorong rakyat Kelantan tinggalkan PAS
Dua lelaki sedang membuang sampah ke dalam tong sampah besar berhampiran pasar Wakaf Bharu di Tumpat, Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Januari, 2018.

SETIAP kali hujan lebat, paras air longkang di depan kedai makan Zanuri Arrifin akan naik melimpah keluar, dengan bau tidak menyenangkan.

Keadaan itu sama sekali tidak disukai pelanggannya.

Kedai makannya berada di jalan utama antara daerah Bachok dan Kota Bharu, tapi Zanuri terpaksa memandu sehingga 1km semata-mata untuk mencari tapak pembuangan sampah.

“Perkara ini patutnya kemudahan asas yang disediakan pihak berkuasa tempatan di Kelantan, tapi ia tidak ada,” katanya, seorang penduduk Bachok yang pernah tinggal di Putrajaya.

Perkhidmatan pelupusan sampah yang teruk, masalah perparitan tersumbat dan masalah bekalan air adalah rungutan yang paling kerap diluahkan penduduk Kelantan dalam tinjauan yang dilakukan oleh The Malaysian Insight.

Kelemahan dalam menyediakan prasarana asas mungkin dilihat sebagai isu kecil dan remeh, namun kegagalan berulang kali kerajaan negeri yang ditadbir PAS itu dijangka akan menyumbang kepada kejatuhan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Lebih dua pertiga daripada 21 penduduk dari lima daerah yang ditemubual dalam tinjauan ini berkata sentimen ubah kerajaan negeri turut dikongsi kalangan kenalan dan keluarga terdekat dengan mereka.

Tetapi parti pilihan untuk mengambil alih pentadbiran negeri masih belum jelas kerana ramai berkata mereka hanya akan membuat keputusan apabila pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

Selain isu perkhidmatan majlis perbandaran yang tidak memuaskan, pengundi ini turut menyalahkan kerajaan negeri kerana kekurangan pembangunan.

Keadaan itu dilihat mengehadkan peluang pekerjaan hingga memaksa mereka merantau mencari rezeki di negeri lain, seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Pemimpin Amanah di Kelantan, Wan Johari Wan Omar berkata faktor penentu sebenar dalam pilihan raya di negeri itu adalah hampir 40% daripada pengundi yang bekerja dan tinggal di negeri lain.

Tinjauan mendapati pengundi yang tinggal dan bekerja di Kelantan mahu kerajaan yang boleh menyediakan peluang pekerjaan lebih banyak, serta perkhidmatan dan kemudahan prasarana lebih baik.

Namun sentimen ubah itu diselamatkan oleh kelompok perantau anak Kelantan yang mencari rezeki di luar.

Golongan perantau ini menikmati segala kesenangan yang tidak mampu disediakan kerajaan PAS namun menjadi penyokong terbesar parti Islam itu dalam pilihan raya lalu.

Ubah

Tinjauan The Malaysian Insight melibatkan 20 lelaki dan wanita di Pasir Puteh, Bachok, Kota Baru, Tumpat dan Pasir Mas membabitkan umur antara 23 hingga 67 tahun.

Soalan yang ditanya ialah berhubung isu paling ketara dan mendesak di kawasan mereka dan sama ada pengundi ini berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, atau tidak.

Setiap responden turut ditanya sama ada mereka atau kenalan terdekat memilih perubahan atau tetap dengan kerajaan sedia ada.

PAS memerintah Kelantan sejak 28 tahun lalu. Parti Islam itu kini menguasai 32 kerusi dari 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam PRU14, parti Islam itu akan berdepan dengan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam usahanya mempertahankan Kelantan.

Kaji selidik Institut Darul Ehsan menunjukkan PAS akan kehilangan Kelantan dalam PRU14 jika terlibat dalam pertembungan tiga penjuru.

Kaji selidik itu mendapati PAS hanya mampu memenangi 15 kerusi negeri.

Tinjauan The Malaysian Insight pula mendapati 15 daripada 21 responden tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri Kelantan.

Empat daripadanya berkata mereka puas hati, dan dua menjawab tidak pasti.

Daripada 21 responden ini, 13 berkata kenalan dan keluarga mereka mahu menukar kerajaan negeri.

Manakala lima memberikan jawapan tidak pasti dan hanya tiga mahu mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.

Sebagai contoh, seorang penjual ayam, Hashidah Jusoh berang dengan kerajaan negeri kerana memaksanya dan peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh untuk berpindah.

“Kerajaan negeri pada mulanya janji pasar baharu yang ruangnya lebih besar tapi bila kami tengok balik, ruang berniaga kami sempit daripada pasar sekarang. Kami juga dikenakan caj sewa yang tinggi,” kata peniaga berusia 45 tahun ketika ditemui di Pasir Puteh.

“Sebab itu kita mahukan perubahan. Kita harap Umno dan BN dapat bantu kita selesaikan isu ini. PAS ini Islam yang guna Islam saja.”

Di Kota Bharu, Mohd Syukri Mohd Zain, 31, mahukan perubahan kerajaan negeri kerana melihat polisi pentadbiran kini tidak mesra pemuda.

“Saya mahu lihat Kelantan ini membangun. Sebagai anak muda kita nak juga rasa pembangunan sama seperti negeri lain.

Kekal

Responden yang mahu mempertahankan kerajaan Kelantan pula menunjukkan berkata mereka menyukai imej PAS sebagai parti Islam dan simpati terhadap kerajaan negeri.

Seorang daripadanya adalah Azman Muhamad, 45, menetap dan bekerja di Johor sebagai inspektor kualiti.

“Saya rasa kerajaan negeri okey. Mereka sudah buat cukup baik untuk Kelantan dengan dana yang terhad. Pembangunan di Kota Baru nampak bagus. Saya rasa kita kena pertahankan kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Pegawai bank, Zaiton Azhari mengaku simpati terhadap kerajaan negeri yang tidak mendapat bantuan sepenuhnya dari Putrajaya.

“Saya rasa kerajaan negeri boleh buat lebih sekiranya ia diberi lebih bantuan daripada kerajaan persekutuan. Saya dengar ramai yang mahu pertahankan kerajaan negeri," kata penduduk Kota Bharu itu.

Peniaga, Azizah Mohamad, 50, dari Tumpat percaya tiada kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya suka duduk di Kelantan. Orang kata Kelantan ini rakyat susah, mereka duduk luar memang tak nampak, tapi sebenarnya kami okey. Kalau saya nak pilih parti nombor satu yang kriteria kita tengok ialah agama. Kita pilih Islam.”

Kelemahan menyediakan prasarana asas mungkin isu remeh, namun kegagalan berulang kali kerajaan negeri Kelantan boleh menyumbang kepada kejatuhan PAS dalam PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Januari, 2018.
Kelemahan menyediakan prasarana asas mungkin isu remeh, namun kegagalan berulang kali kerajaan negeri Kelantan boleh menyumbang kepada kejatuhan PAS dalam PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Januari, 2018.
Seorang pemimpin akar umbi Umno dari bahagian Pasir Puteh, Mat Yali Hussin mengakui terdapat gelombang rakyat Kelantan yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri.

Mat Yali berkata rasa tidak puas hati ini bermula sejak 2015 apabila ramai pemimpin PAS yang popular dan berpengaruh meninggalkan parti itu dan menubuhkan Amanah yang kini menjadi parti komponen PH.

"Dulu, saya dan ketua kampung daripada PAS boleh bersama menyelesaikan masalah dan urusan kampung," katanya yang juga pemimpin Umno cawangan Batu Hitam dalam bahagian Pasir Puteh.

Mat Yali ialah ketua Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung Persekutuan (JKKKP) bagi Kampung Batu Hitam. Satu lagi jawatankuasa, Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung dilantik dan dibiaya oleh kerajaan negeri.

"Tetapi selepas perpecahan PAS, JKKK mereka seolah-olah tidak terurus. Mereka dilihat mengutamakan ahli mereka berbanding dengan kita. Kita tolong semua tak kira parti."

Namun, katanya beliau tidak pasti sama ada kemarahan terhadap kerajaan negeri dapat menumbangkan PAS di Kelantan pada PRU14.

"Contohnya di kampung saya sendiri, Umno dan PAS 50-50. Sama ada Kelantan akan bertukar atau tidak, bergantung kepada pengundi luar yang balik mengundi."

Tiada ulasan: