FMT Reporters
Pentingnya amalan bersarapan setiap pagi untuk menjaga kesihatan pada tahap optimum.
Bagaimanapun ada persoalan sama ada patutkah seseorang itu bersarapan sebelum bersenam atau selepasnya.
Lazimnya, seseorang pelatih kesihatan akan menyarankan sarapan diambil sejam lebih awal daripada waktu bersenam, atau bersarapan sejam selepas bersenam.
Apapun, sarapan pagi sebelum senaman ternyata lebih bermanfaat kerana ia boleh meningkatkan pembakaran karbohidrat semasa aktiviti dan mempercepat penghadaman selepas bersenam.
Penyelidik dari University of Bath dengan kerjasama saintis dari universiti di Striling, Newcastle dan Birmingham mengkaji perbandingan kesan latihan basikal yang dijalankan selama satu jam, sebelum dan selepas bersarapan.
Penyelidik juga menjalankan kajian terhadap peserta yang bersarapan 3 jam selepas latihan dan peserta yang makan bubur sahaja 2 jam sebelum bersenam.
Penyelidikan tersebut dijalankan ke atas 12 peserta lelaki dengan menguji tahap glukosa dan tahap glikogen otot selepas senaman dan semasa berehat.
Hasilnya, sarapan didapati mempercepatkan proses pembakaran karbohidrat semasa latihan.
Bukan itu sahaja, tahap pencernaan badan dan metabolisme juga meningkat selepas bersenam bagi mereka yang mengambil sarapan terlebih dahulu.
Rob Edinburgh, salah seorang penyelidik berkata, karbohidrat yang dibakar ketika bersenam bukan hanya menyasar daripada sarapan yang baru sahaja dimakan malah karbohidrat yang tersimpan di otot sebagai glikogen.
Menurutnya, kajian ini membuktikan, bersarapan sekurang-kurangnya satu atau 2 jam sebelum bersukan memberi manfaat pada tubuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan