"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas-Umno ‘menswastakan’ isu Melayu dan Islam, kata Dr Mujahid

MALAYSIA DATELINE
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Pas dan Umno telah ‘menswastakan’ isu Melayu dan Islam untuk dimonopoli oleh dua parti itu sedangkan Melayu-Islam adalah isu nasional rentas parti dan kaum.

Beliau berkata, dalam hubungan Pas-Umno isu ‘perpaduan Melayu dan demi Islam’ sebenarnya adalah alasan yang bersifat kosmetik bagi mencapai maksud helah politik untuk bersaing dengan Pakatan Harapan (PH).

“Pas tidak mungkin bersendirian untuk menguasai politik negara begitu juga Umno yang hilang tongkat MCA, Gerakan dan MIC. Jadi amat wajarlah gabungan Pas-Umno dipacu,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai kehadiran buat pertama kali pimpinan Umno dalam Muktamar Pas ke-64 yang diadakan di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Dr Mujahid menegaskan jika kerjasama Pas-Umno berlaku, ia memberi petunjuk Umno telah rosak dengan skandal korupsi yang sebahagian besarnya dalam proses pengadilan.

Pas akan sanggup melupakannya seolah korupsi dan salahguna kuasa bukan masalah Islam. Pas katanya, tiada komitmen menentang rasuah bahkan rela bekerjasama dengan parti yang terpalit dengan rasuah paling buruk dalam sejarah politik negara.

“Ini agak mengelirukan kerana sebagai parti yang didakwa paling Islamik mereka menutup mata pula pada korupsi rakan kerjasamanya.” ujarnya.

Dr Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH itu berkata, dalam usaha ke arah kerjasama yang bakal dibentuk Pas-Umno itu, perlu dilihat 3 kesannya kepada kerangka politik baharu dalam kerajaan PH

Pertama, masa depan Malaysia adalah perpindahan dari politik identiti berasaskan perkauman sempit dan agama dogmatik kepada kerakyatan yang berasaskan hak dalam perlembagaan.

“Persoalannya adakah Umno yang sekian lama berjuang dan memerintah memastikan perpindahan ini berlaku tiba-tiba kembali kepada di mana ia bermula dahulu?
Lupakah Pas, kerana retoriknya gagal berpijak di bumi nyata. Apakah Umno sanggup membiarkan dirinya memutarkan jam ke belakang bersama Pas?,soalnya.

Kedua, katanya lagi,politik baharu cuba memecahkan kebuntuan yang merencatkan integrasi, keharmonian dan kesepaduan kerana masih ada parti politik yang menunggang isu-isu agama dan kaum untuk tujuan sempit mereka.

“Pas ‘membuktikan’ dirinya lebih Islamik dari semua orang apabila sanggup ‘mempolitikkan’ isu RUU 355, RUU164, Hudud di Kelantan dan permusuhan dengan DAP.

“Pas meletakkan dirinya sama taraf dengan agama seolah menolak Pas adalah menolak Islam, menyokong Pas dijanjikan ‘syurga’ dan tindakan orang lain tidak Islamik manakala tindakan semuanya melambangkan keislaman.

“Bila ditanya mengapa Pas menyokong MCA di Balakong sedangkan MCA secara terangan menentang RUU 355 dan Hudud di Kelantan, Pas jawab mudah, MCA tidak tentang Pas! Begitulah ‘sucinya’ Pas, lebih tinggi dari ‘Hudud’ dan RUU 355.

“Umno pula membiarkan isu perkauman berleluasa semasa pemerintannya malah kenyataan pimpinannya benar-benar telah menggugat keharmonian kaum yang terbina selama ini.

“Bolehkah anda bayangkan kerjasama Umno dan Pas, ke mana usaha memecahkan kebuntuan agama dan perkauman sempit ini? Kekhuatiran politik baharu ialah hasrat rakyat Malaysia yang mahu ‘move on’ dengan ruh dan semangat Malaysia yang bersatu akan ‘disentap kuat’ dengan bertambahnya retorik Melayu Islam ala Pas-Umno. Ia sesuatu yang malang untuk Malaysia hari ini,” ujarnya.

Dan ketiga katanya, serangan politik isu perkauman dan agama sempit akan menghantui setiap pengundi yang mahukan perlumbaan sihat, advokasi polisi dan dasar yang membangunkan negara.

“Politik baharu Malaysia mahu membuka ruang kebebasan pandangan dan kebebasan media di mana persaingan ide adalah pemain utamanya sehingga rakyat dapat menilai pandangan bernas untuk membangunkan negara lalu mereka dapat membuat pilihan terbaik.

“Kerjasama Pas-Umno tidak dapat menggunakan ruang politik baharu untuk bersaing ide dan polisi tetapi berpotensi disalahgunakan meruncingkan lagi isu-isu perkauman dan agama yang sempit,” ujarnya.

Tiada ulasan: