"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti

ARIF ATAN

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan perbuatan mendedahkan maksiat peribadi bukanlah suruhan agama.

Menurutnya, maksiat peribadi berbeza dengan maksiat yang mengancam keselamatan awam ataupun berbahaya kepada sesuatu pihak.

Sehubungan itu, katanya, maksiat peribadi hendaklah diberi amaran agar orang ramai, ataupun pihak yang terlibat selamat dari ancaman.

“Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan.

“Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri,” tegasnya.

Dr Mohd Asri memuatkan kembali penjelasannya di Facebook DrMAZA.com berhubung persoalan maksiat peribadi pada lapan tahun lalu yang katanya boleh turut dirujuk dalam buku beliau, Menjawab Persoalan Menjelaskan Kekeliruan.

“Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing,” ujarnya.

Beliau menjelaskan dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya.

“Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya, praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.

“Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain,” katanya.

Dr Mohd Asri menyifatkan mereka terbabit melanggar pantang larang agama dalam berpolitik dan wabak inilah, tegasnya, sedang memakan diri mereka sendiri.

“Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini.

“Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin.

“Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: