Noor Mohamad Shakil Hameed
Sakit hati dan geram apabila kita mendengar pendedahan dan pengakuan seorang ahli perniagaan warga China yang memberitahu Mahkamah Tinggi George Town baru-baru ini bahawa dia membayar sebanyak RM400,000 untuk memiliki pasport dan MyKad warganegara Malaysia.
Ini bermaksud mana-mana individu luar yang ada duit boleh membeli dua dokumen penting negara ini dengan sangat mudah. Kita mungkin sukar untuk menyalahkan ahli perniagaan ini kerana dia hanya menggunakan ‘perkhidmatan tambahan dan istimewa’ yang ditawarkan oleh pegawai yang diberi amanah dan tanggungjawab.
Tetapi apa yang pasti kita sangat kecewa dan marah apabila adanya pegawai jabatan kerajaan yang sanggup menggadai kedaulatan negara hanya kerana tamak dan mahu cepat kaya.
Secara peribadi bagi saya pasport dan MyKad bukanlah sekadar dokumen perjalanan dan kad identiti semata-mata, sebaliknya ia adalah lambang kedaulatan dan maruah negara. Jadi jika ada mana-mana individu menyalah guna kedudukan dan kuasa untuk menjual dokumen ini maka wajar dicaj sebagai tindakan mensabotaj dan mengkhianati negara.
Malah wajar dipanggil sebagai penderhaka kerana menjual kedaulatan negara kepada orang luar. Ini kerana tindakan sebegini boleh memberikan pelbagai kesan buruk dan negatif terhadap negara dan juga masyarakat.
Secara prinsipnya banyak yang kita boleh bercakap tentang isu jualan pasport dan MyKad ini terutamanya dalam konteks memberikan ancaman kepada kita. Antaranya, anasir luar boleh mengambil kesempatan untuk merasuah pegawai dan membeli dokumen penting ini untuk seludup masuk ke dalam negara untuk pelbagai tujuan tidak baik seperti mensabotaj keselamatan dan ketenteraman awam dari dalam serta mengintip pelbagai rahsia penting negara.
Dalam kes ini sendiri misalnya ahli perniagaan dari China tersebut yang berjaya membeli pasport dan MyKad secara terang-terangan layak untuk melibatkan diri dalam perniagaan dan pelaburan di negara kita dengan menikmati segala kemudahan yang disediakan kepada warga tempatan oleh kerajaan.
Bukankah ini akan mengancam dan menjejaskan peluang perniagaan warga kita. Ia juga akan mendorong pengaliran keluar wang negara sekali gus menjejaskan ekonomi negara. Kita percaya hak pembelian hartanah terutamanya rumah mampu milik rakyat juga akan terjejas teruk kerana orang luar ini pasti boleh membayar dan menggondol semua rumah yang dijual oleh pemaju untuk dijadikan pelaburan.
Bayangkan pula keadaan di mana pekerja asing yang datang bekerja di negara kita akhirnya dapat memiliki dokumen penting seperti MyKad. Ini akan membolehkan mereka yang datang dari pelbagai latar belakang mengancam peluang pekerjaan tetap di semua sektor terutamanya sektor awam yang sememangnya dikhususkan untuk warganegara. Malah masalah jenayah dan sosial juga pastinya akan terus menghantui masyarakat kita.
Ironinya pendedahan seperti ini menunjukkan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kalangan segelintir penjawat awam yang memegang jawatan penting dan strategik masih cukup membimbangkan.
Ringkasnya integriti kelompok ‘nila’ ini terus menghantui nama baik dan imej perkhidmatan awam secara keseluruhannya. Lantaran itu ketua jabatan dan penjawat awam perlu melihat perkara ini dengan lebih serius.
Hakikatnya sudah terlalu banyak kes salah laku dan integriti dalam kalangan penjawat awam telah didedahkan selama ini, justeru perlu ada tindakan yang lebih drastik agar perkara ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. Kita memerlukan tindakan yang lebih tegas dan yang boleh dibuat dengan segera.
Masalahnya sekarang ialah di samping kes mahkamah yang berlarutan agak lama sebelum dijatuhkan sesuatu hukuman, proses tatatertib ke atas mana-mana penjawat awam yang terlibat sebarang salah laku jenayah juga melibatkan tatacara yang agak panjang sebelum menjatuhkan hukuman seperti buang kerja.
Ini berbeza dengan pihak swasta atau korporat yang boleh memecat staf yang bermasalah dengan serta-merta tanpa proses yang panjang. Kita boleh bersetuju untuk memberi peluang dan keadilan kepada penjawat awam yang bermasalah ini untuk perbaiki diri dan membuktikan tidak bersalah atau sudah berubah tetapi proses itu perlu dipendekkan agar tidak memberi signal yang salah kepada pekerja lain yang lebih jujur, beramanah dan berintegriti tinggi.
Akhirnya kita berharap kelompok penjawat awam yang mudah gelap mata, tamak dan mahu cepat kaya dengan jalan pintas yang tidak bermaruah dan berintegriti seperti ini segera insaf, bermuhasabah diri dan menghentikan aktiviti tidak bermoral seperti ini.
Janganlah kerana wang ringgit kita sanggup menggadai kedaulatan negara yang terlalu bernilai dan tidak boleh di jual beli.
Noor Mohamad Shakil Hameed adalah Timbalan Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan