"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKPB: Peringatan Azmin Ali mengundang kecaman orang ramai

ARIF ATAN

Peringatan Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali berhubung keengganan kebanyakan negeri melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mengundang kritikan orang ramai.

Rata-rata berpendapat ruang perlu diberikan kepada kerajaan negeri untuk menyelaraskan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengekang penularan Covid-19 di luar kawalan.

Ada juga yang menganggap Azmin perlu sabar memandangkan pengumuman Perdana Menteri berkenaan PKPB hanya dibuat pada 1 Mei lalu iaitu cuti umum.

Sehubungan itu, persiapan dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan berkaitan perlu dipastikan berada pada tahap terbaik terlebih dahulu.

Tidak kurang menyindir mengaitkan Azmin sebagai “pangarah filem pintu belakang” gagal untuk memahami prosedur yang perlu dilalui di peringkat akar umbi.

Terdahulu, Azmin mengingatkan kerajaan negeri bahawa pihak industri mungkin boleh mengambil tindakan undang-undang jika sektor ekonomi tidak dibuka semula di bawah PKPB seperti yang diputuskan oleh kerajaan pusat.

Kata bekas pemimpin PKR itu, kerajaan negeri yang ingkar untuk membuka semula ekonomi tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan bercanggah dengan dasar kerajaan Pusat.

“Lebih-lebih lagi memandangkan dasar kerajaan persekutuan tersebut telah pun dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara.

“Dalam hal ini, peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 342 adalah undang-undang khusus bagi tujuan mencegah dan mengawal penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Lima negeri menolak pelaksanaan PKPB yang mula dikuatkuasa semalam iaitu Sarawak, Sabah, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Negeri Sembilan menetapkan beberapa syarat dan peraturan dengan hanya sektor ekonomi dibenarkan boleh beroperasi manakala sektor sosial dan aktiviti sukan tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB.

Kerajaan negeri Selangor pula memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

Lain pula halnya di Kelantan apabila hanya pada lusa akan memperhalusi garis panduan PKPB secara lebih mendalam pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) Negeri.

Tiada ulasan: