Dakwaan sogokan: AMK lapor polis terhadap Muhyiddin esok
Low Choon Chyuan
Pemuda PKR (AMK) akan membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan melakukan "sogokan politik" dengan menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada pemimpin tertentu.
Setiausaha pengelola AMK pusat, Chua Wei Kiat berkata, laporan polis berkenaan dibuat susulan dakwaan yang dibangkitkan dalam surat pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah semalam.
"Kenyataan (Tengku Razaleigh) itu menyebut bahawa Perdana Menteri menawarkan jawatan GLC sebagai balasan bagi menyokongnya," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Adun Rawang itu berkata sayap pemuda PKR itu akan membuat laporan polis terhadap Muhyiddin di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi jam 10 pagi esok.
Dalam surat berkenaan, Razaleigh mendakwa Muhyiddin menawarkan jawatan penasihat Petronas, yang secara tradisi ditawarkan kepada bekas perdana menteri.
Razaleigh bagaimanapun menolak tawaran itu kerana bimbang dengan Perkara 48 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai 'hilang kelayakan keanggotaan Parlimen' jika memegang sesuatu jawatan berpendapatan.
Katanya lagi, peruntukan itu untuk mencegah ahli Parlimen daripada membuat sokongan atau mengundi menyokong kerajaan kerana "penyogokan politik".
Untuk rekod sejak mengambil alih kerajaan pada Februari lalu, pembangkang mendakwa Muhyiddin melantik ahli politik dalam GLC untuk menguatkan pengaruhnya.
Dakwaan Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li itu didedahkan dalam sepucuk surat yang dihantar kepada speaker Dewan Rakyat.
Dalam surat berkenaan beliau turut menggesa speaker membenarkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin untuk dibahaskan.
Pendedahan itu juga dibuat sehari selepas anggota Parlimen Gua Musang itu dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Pertemuan itu diadakan selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Seri Padukan bagi menunjukkan dokumen yang dikatakan bukti dia mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan