"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahiaddin kelirukan Agong, penderhakaan tertinggi yang tidak patut dimaafkan

SITI NUR ZAWANI MISCON

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin didakwa telah mengelirukan Yang di-Pertuan Agong dan tidak bercakap benar berhubung sokongan majoriti yang diperolehnya.

Majlis Presiden Pakatan Harapan menegaskan, pimpinan PH telah membuat perkiraan yang teliti bersama rakan-rakan dari parti pembangkang dan semua yang tidak menyokong Mahiaddin.

Ternyata, Mahiaddin tidak bercakap benar dan ia adalah satu tindakan penderhakaan tertinggi terhadap Ketua Utama Negara dan tidak patut dimaafkan.

“Perkara ini boleh disahkan tanpa sebarang keraguan dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan satu urusan sahaja, iaitu membentang, membahas dan memutuskan undi tidak percaya terhadap Mahiaddin.

“Kami berpandangan mesti ada tindakan tegas terhadap penipuan yang dilakukan diperingkat tertinggi sehingga sanggup tidak bercakap benar dan mengelirukan Seri Paduka Baginda.

“Tindakan menangguhkan undi tidak percaya sehingga bulan September adalah amat tidak wajar. Isu sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin dan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional mesti diputuskan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; AMANAH Mohamad Sabu; dan DAP Lim Guan Eng.

PH berkata, selagi mana undi untuk menguji keabsahan Mahiaddin ditangguhkan, selagi itulah isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak akan dapat diselesaikan.

Mengulas lanjut PH mengingatkan bahawa Raja-Raja pemerintah telah bertitah pada 16 Jun yang lalu betapa pentingnya kerajaan itu stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

Majlis Presiden PH bersama semua parti dalam blok pembangkang termasuk Ahli-Ahli Parlimen yang telah menarik sokongan terhadap Mahiaddin, juga mendesak agar diadakan segera sidang khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk memutuskan isu ini.

“Kami turut memohon agar semua penjawat awam terutamanya badan-badan penguatkuasa terus bertindak secara profesional, neutral, dan tidak sesekali mengikut selera politik parti pemerintah sekarang untuk menekan atau mengugut Ahli-Ahli Parlimen khususnya dalam hal sokongan terhadap Mahiaddin,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: