"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Parlimen tidak bubar sebelum 31 Julai tahun depan

FAZLI RADZI

Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) antara lain bersetuju bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai tahun depan, kata Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil.

Memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PH yang dimeterai petang ini juga bersetuju bahawa PH kekal sebagai blok pembangkang sepanjang tempoh tersebut.

“PH kekal pembangkang. Parlimen tak dibubar sebelum 31.7.2022.

“Dokumen lengkap menyusul,” kata Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan juga menegaskan MoU Tranformasi dan Kestabilan Politik itu antara lain menumpukan hal berkaitan bantuan rakyat, penambahbaikan usaha menangani Covid-19 dan reformasi Parlimen.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad dalam satu kenyataan berkata, kesemua tawaran kerajaan diterajui Ismail Sabri adalah saranan reformasi Parlimen yang sememangnya menjadi teras dalam perjuangan PH sejak era ‘Reformasi’.

“Ianya bukan semenyeluruh seperti yang diperjuangkan PH, namun tiada yang boleh menafikan ianya sebahagian dari agenda ‘Reformasi’ yang pernah dan sedang dibawa.

“Hampir kesemua tawaran Ismail ini adalah bersifat prinsip dan perjuangan, bukannya tawaran jawatan untuk para ahli Parlimen sebagaimana tawaran ‘schemes of thing’ yang ditawarkan kepada Ahli Parlimen BN dan PN oleh Mahiaddin sebelum ini,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Menerusi kenyataan bersama wakil kerajaan dan PH malam tadi, kedua-dua pihak bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya MoU itu kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

Langkah memuktamadkan MoU antara kerajaan Persekutuan dan PH itu dicapai selepas beberapa pusingan rundingan diadakan.

MoU antara Kerajaan Persekutuan dan PH hari ini membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’.

Tiada ulasan: