"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Semoga Kak Lah terus bimbing diri, Ustaz Idris kembali ke pangkal jalan’

 FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar secara berseloroh berharap agar dua pemimpin Pas yang berada dalam kerajaan pada masa ini untuk tidak lagi memperalat ayat al-Quran demi kepentingan politik.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad sebelum ini pernah mengaitkan banjir besar di Pulau Pinang pada 2017 dengan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355.

“Ketika itu Ustaz Idris Ahmad, sekarang ini Menteri Agama, menyatakan Allah bayar ‘cash’ dan punca berlakunya banjir kerana DAP ketika itu menentang RUU 355 yang belum dibentangkan.

“Lebih teruk daripada itu ada seorang ulama Pas, Nazmi Karim menyatakan banjir di Shah Alam berpunca kerana adanya kilang arak.

“Ini lebih bahaya daripada sekadar mempolitikkan isu banjir yang mungkin mempertikaikan kelewatan menteri mengambil tindakan atau turun padang memakai logo parti dan sebagainya,” kata Ustaz Ridzwan dalam rakamana video yang dimuatkan di Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, beliau mempersoal sama ada wujudkah kilang minuman keras di Kelantan yang kerap dilanda banjir.

Ustaz Ridzwan turut berpendapat banjir pada penghujung tahun lalu juga melanda daerah yang mempunyai banyak institusi pendidikan Islam.

“Soalnya, di Jeli adakah kilang arak? Di Temerloh, bukankah ada pondok di sana? Di Hulu Langat juga ada puluhan maahad tahfiz.

“Apakah Shah Alam tenggelam kerana sebuah kilang arak sedangkan Kelantan kerap berlakunya banjir, adakah di sana juga ada kilang arak?” bidasnya.

Justeru, beliau menyambut baik nasihat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga dikenali sebagai Kak Lah agar tidak mempolitikkan bencana banjir.

“Kak Lah menyebut sepatutnya semua pihak agar tidak mempolitikkan musibah banjir di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Betul. Jangan politikkan isu banjir. Lebih daripada itu, jangan mempergunakan agama dan ayat suci al-Quran.

“Jangan juga mempergunakan sentimen agama serta takut kepada dosa dan mengharapkan pahala itu sebagai isu politik untuk menyalahkan mana-mana pihak,” tegasnya.

Dalam masa sama, Ustaz Ridzwan berharap Siti Zailah dapat membimbing diri dan Idris agar benar-benar memahami Islam.

“Jangan gunakan sentimen agama. Jangan tunggang agama. Nasihat Kak Lah jangan mempolitikkan musibah yang menimpa rakyat, itu bagus.

“Ustaz Idris selamat maju jaya. Kak Lah terus bimbing diri dan Ustaz Idris supaya kembali ke pangkal jalan memahami agama dengan neraca yang sebenarnya,” tambah Ustaz Ridzwan lagi.

Tiada ulasan: