"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Tinggalkanlah parti’, tangisan Wan Azizah di kongres PKR, kecewa kerana musuh dalam selimut

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu ahlinya jika mereka tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti, mereka boleh meninggalkan parti tetapi jangan jadi musuh dalam selimut.

Wan Azizah yang mesra dipanggil Kak Wan itu menyampaikan ucapan kongres wanita dengan tangisan air mata apabila menyentuh konflik dalaman parti.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang kecewa selepas kekalahan dalam pemilihan parti baru-baru ini supaya tidak terus menyerang dan menghancurkan PKR dari dalam. Mereka tidak patut bermusuh antara satu sama lain, katanya.

“Kita bukan bermusuh, kita parti yang sama, kalau nak tinggalkan (parti), tinggallah.. tak apa.  Tapi jangan jadi musuh dalam selimut, api dalam sekam. 

“Jangan hancurkan apa yang kita sama-sama bina,” katanya yang kelihatan amat sedih dan kecewa dengan konflik dalaman parti itu. 

Wan Azizah turut mengimbas kembali tentang kesetiaan anggota parti ketika tempoh krisis langkah Sheraton yang menyaksikan pengkhianatan dari bekas timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membawa keluar 10 Ahli Parlimen PKR sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata, ahli-ahli di dalam PKR ibarat satu keluarga dan mereka perlu menyatukan semula kekuatan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang cukup mencabar.

“Dalam tempoh 23 tahun ini tidak sedikit daya juang dan kesetiaan kita pada parti telah tergugat. Dengan pelbagai tohmah, kemelut, perpecahan dan tiada disiplin pada keputusan. Cukup rencam serta memberi kesan kepada kestabilan organisasi. Tapi ini bukan baru. Timbalan pertama pun (Azmin) tinggalkan kita, jangan lupa.

“Saya biasa kalah tetapi tak bermaksud saya memusuhi (lawan). Kita semua ahli keluarga. Pemilihan sudah berakhir, inilah masanya untuk kita kembali merangkul kekuatan dan terus konsisten dengan perjuangan asal kita,” katanya pada kongres wanita PKR hari ini.

Wan Azizah dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa sama ada menang atau kalah, seseorang itu perlu mengekalkan kesopanan dan adab kerana ia merupakan adat dalam sesuatu pertandingan.

“Kalah atau menang kita kena ingt adab, adab seorg kawan dan seorg lawan. adab dan akhlak kesopanan Melayu, kita tak boleh dijual beli

“Kita bukan saja perlu berbudi pada alam tapi pada makhluk, kepada sama-sama kawan…Ini adalah sebahagian daripada kita sebagai seorang insan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: