"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jika buat PRU boleh selesai masalah ekonomi, boleh buat PRU tiap tahun

Malaysiakini 

Jika p'raya selesai masalah ekonomi, boleh buat tiap tahun - Lim

Belanjawan 2023 yang dijadualkan dibentangkan pada 7 Oktober depan bukanlah untuk membantu rakyat dan mengatasi masalah ekonomi negara.

Sebaliknya, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng mendakwa ia hanyalah belanjawan pilihan raya bagi menguntungkan pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan harus mengambil pendekatan holistik untuk memperlahankan kenaikan harga dengan menangani kesesakan fiskal, kekurangan buruh yang teruk, kejatuhan nilai ringgit, kerenah birokrasi dan halangan kepada pertumbuhan ekonomi yang dihadapi oleh perniagaan.

"Menangani masalah-masalah ini akan membantu mengurangkan kos dan menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, di mana pengeluaran yang lebih tinggi akan membantu perniagaan untuk mengurangkan lebih banyak kos.

"Malangnya, kerajaan sekarang nampaknya taksub dengan survival politik dan mengadakan pilihan raya umum dengan mengorbankan mengambil langkah konkrit untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara," kata ahli parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan.

Lim berkata tindakan kerajaan menjadualkan semula pembentangan Belanjawan 2023 juga jelas menunjukkan bahawa pilihan raya umum (PRU) ke 15 berkemungkinan besar diadakan pada November tahun ini.

“Pada ketika setiap sumber, tenaga dan tumpuan harus ditujukan untuk menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi sekarang, kerajaan mengorbankan tadbir urus yang baik demi kepentingan politik.

"Jika pilihan raya awal boleh membantu menyelesaikan masalah ekonomi negara, maka pilihan raya sepatutnya diadakan setiap tahun," katanya.

Menurut Lim, pembentangan Belanjawan 2023 lebih awal dari yang dijadualkan semata-mata untuk tujuan pilihan raya umum menafikan tujuan keseluruhan bajet sebagai penyata dasar fiskal dan kewangan untuk tahun hadapan.

Gardenia sebagai contoh

Lim turut mengambil contoh kenaikan harga roti Gardenia antara 20 sen hingga 70 sen bermula 1 September ini.

"Pengumuman Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd bahawa mulai 1 September, roti putihnya, yang merupakan produk makanan ruji dalam kalangan kumpulan B40 dan M40, akan menyaksikan peningkatan antara 20 dan 70 sen, menunjukkan peningkatan kos sara hidup masih masalah ekonomi yang membimbangkan.

"Gardenia berkata syarikat itu tidak mempunyai alternatif selain menaikkan harganya berikutan kenaikan kos pengangkutan dan kos bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran," katanya.

Jelas Lim, kenaikan harga roti Gardenia itu juga bercanggah dengan dakwaan tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh kerajaan sekarang bahawa mereka telah berjaya mengawal harga yang melambung tinggi, terutama harga barang makanan yang meningkat sebanyak 6.2 peratus pada Julai 2022.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata tanpa peruntukan subsidi, bantuan dan insentif Malaysia akan mencatatkan kadar inflasi sebanyak 11.4 peratus dan bukan 3.4 peratus pada Julai 2022,” kata Lim.

Sehubungan itu, Lim mencabar Mustapa Mohamed untuk menjelaskan bagaimana tanpa pemberian subsidi, bantuan dan insentif Malaysia akan mencatatkan kadar inflasi 11.4 peratus dan bukannya 3.4 peratus pada Julai 2022.

“Mustapa berkata daripada subsidi RM77.7 bilion, peruntukan subsidi tertinggi sebanyak RM38.3 bilion adalah untuk petroleum, bagi meneruskan dasar yang dimulakan PH pada 2019, iaitu mengekalkan harga RON95 pada RM2.05 dan diesel pada RM2.15, walaupun harga pasaran antarabangsa telah melebihi harga di negara ini.

"Jelas bahawa langkah kewangan dan subsidi sebanyak RM77.7 bilion sahaja yang dilakukan oleh kerajaan tidak membantu mengawal kenaikan harga, seperti yang ditunjukkan oleh kenaikan roti Gardenia," kata Lim.

Tiada ulasan: