"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengumuman calon oleh Anwar selesaikan ‘soksek-soksek’ dalaman PKR dan AMANAH

BORHAN AHMAD

Pengumuman calon PKR oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menyelesaikan perselisihan pendapat di kalangan penyokong PKR dan AMANAH selama ini.

Di dalam PKR, Anwar memuktamadkan bahawa PKR tidak menerima pengkhianatan yang dilakukan oleh Datuk Seri Azmin Ali dan rakan-rakannya manakala di dalam AMANAH pula Anwar memuktamatkan hubungan antara penyokong Datuk Husam Musa dengan kepimpinan AMANAH di Kelantan.

Ini kerana isu pengkhianatan Azmin terhadap PKR dan isu Husam yang membuat pasukan lain (Save Kelantan) sentiasa menjadi isu yang memudaratkan PKR dan AMANAH di Kelantan.

“Saya anggap dua masalah ini sudah diselesaikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan sendiri, mari kita move on,” kata seorang penganalisis politik yang mengikuti pengumuman calon PKR oleh Anwar malam tadi.

Pertelagahan sentiasa berlaku dalam PKR tentang pengkhianatan yang dilakukan Azmin dan penyokongnya sebelum ini. Ekoran itu, mereka yang dianggap penyokong Azmin dahulu sentiasa menjadi sasaran dalam PKR.

Walaupun sebahagian penyokong Azmin kekal dalam PKR tetapi mereka sentiasa dicurigai oleh ahli PKR yang lain apakah satu hari nanti mereka akan ditikam dari belakang sekali lagi.

Begitu juga di Kelantan. Para penyokong Husam dan kepimpinan AMANAH Kelantan sentiasa sahaja bertembung dan saling serang menyerang antara satu sama lain termasuk melalui media sosial walaupun Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Mohamad Hussin dilihat tidak ada masalah dengan Husam.

Melalui pengumuman itu, Anwar menghantar mesej jelas tidak mahu lagi mendengar pertelagahan berlaku di kalangan penyokong dan mereka perlu fokus untuk memenangi pilihan raya kali ini.

Hampir kesemua pemimpin yang dianggap penyokong Azmin diketepikan dari menjadi calon PKR manakala beberapa penyokong Husam yang bermasalah dengan kepimpinan AMANAH di Kelantan pula diumumkan menjadi calon PKR.

“Ini adalah tindakan untuk mengerat semua masalah dalaman parti PKR di peringkat nasional dan AMANAH di negeri Kelantan.

“Penyokong Azmin diketepikan, manakala penyokong Husam Musa pula diambil jadi calon PKR,” kata penganalisis itu yang mengkaji senarai calon PKR malam tadi.

Bagi beliau, dalam politik tidak timbul masalah siapa yang salah atau siapa yang betul tetapi sebagai pemimpin apabila datang masalah ia perlu diselesaikan.

“Dan Anwar mengambil pendekatan ini,” katanya kepada Malaysia Dateline tanpa mahu disebutkan namanya.

Penyokong Azmin yang diketepikan dari menjadi calon adalah Chua Tian Chan atau Tian Chua yang sebelum ini bertanding di Batu, Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) dan Sivarasa Rasiah (Sungai Buluh).

Anwar mengumumkan P Prabakaran yang menang dalam PRU – 14 lalu kekal di Parlimen Batu, Ramanan Ramakrishnan menggantikan R Sivarasa di Sungai Buluh manakala Lee Chean Chung menggantikan Maria Chin di Petaling Jaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula diminta bertanding melawan bekas bosnya di Gombak.

Sementara itu, Husam dan dua penyokongnya di Kelantan diumumkan bertanding atas tiket PKR malam tadi.

Husam sendiri diumumkan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas, Nik Omar Nik Aziz (Pasir Salak) dan Dr Rosli Allani (Machang).

Tiada ulasan: