BORHAN AHMAD
Tabung Haji sudah tidak wujud lagi sekarang jika Pakatan Harapan tidak menang dalam pilihan raya umum ke 14 lalu, kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Ketika berucap dalam Jelajah Ayuh Malaysia di Kuala Pilah malam tadi, Rafizi berkata, Umno, Barisan Nasional (BN) dan Pas sering menuduh Pakatan Harapan menjual harta umat Islam iaitu anak-anak syarikat Tabung Haji kepada bukan Islam.
“Yang berlaku adalah sebaliknya. Kalau kita tak menang dalam pilihan raya Mei 2018, saya rasa Tabung Haji dah tak ada lagi sekarang,” kata Rafizi dalam ceramahnya itu.
Menurut Rafizi, sejak tahun 2016 lagi beliau menyebut bahawa Tabung Haji berada dalam kerugian besar dan rezabnya adalah negatif iaitu hartanya lebih rendah berbanding dengan hutangnya.
Rafizi berkata, beliau juga mendedahkan bahawa Gabenor Bank Negara telah menghantar surat kepada Tabung Haji mengenai perkara ini.
Oleh itu, katanya, Tabung Haji tidak boleh mengeluarkan dividen kepada pendeposit atau penabungnya kerana ia bertentangan dengan Akta Tabung Haji sendiri.
“Akibatnya saya telah ditahan oleh polis dan didakwa ke mahkamah. Ketika kerajaan PH menang 2018 dahulu, saya masih berulang alik ke mahkamah kerananya,” kata Rafizi.
Apabila PH menang, antara langkah awal yang dilakukan oleh kerajaan PH adalah melantik firma kewangan Price Waterhouse and Cooper (PWC) untuk membuat audit kepada Tabung Haji.
Hasilnya, PWC merumuskan tiga perkara, kata Rafizi dalam ceramah itu.
TH mengalami kerugian RM546 juta dari pelaburannya yang hangus.
Keuntungan RM553 juta yang diumumkan oleh TH hasil dari jualan sahamnya dalam Bank Islam adalah satu penipuan. Ini kerana saham itu tidak dijual pun oleh TH.
PWC juga mengesahkan bahawa keuntungan RM433 juta dari anak-anak syarikatnya juga tidak wujud. Ia hanya pengumuman sahaja.
“Dengan menggunakan keuntungan palsu itulah, Tabung Haji telah membayar dividen kepada pendepositnya 7 hingga 8 peratus setahun untung kepentingan politiknya padahal ia bertentangan dengan Akta Tabung Haji sendiri,” kata Rafizi.
Menurut beliau, dengan menggunakan maklumat dari PWC itulah peguam beliau telah menulis satu surat kepada Peguam Negara dan mahkamah.
“Hasilnya Peguam Negara dan hakim setuju dan membebaskan saya dari membuat dakwaan palsu dalam kes Tabung Haji dan saya dibebaskan.
“Bukan kerana Peguam Negara Tommy Thomas,” kata Rafizi dalam ceramahnya merujuk kepada sentimen negatif yang dihalakan kepada bekas Peguam Negara itu sekarang.
PWC juga telah merumuskan Tabung Haji kerugian RM10 bilion menerusi audit yang dibuat, katanya.
“Berdasarkan itu, kerajaan Pakatan Harapan telah menyuntik RM20 bilion wang kerajaan menerusi Kementerian Kewangan untuk Tabung Haji.
“RM10 bilion untuk menutup lubang kerugian yang dibuat dan RM10 bilion lagi untuk dijadikan modal baharu untuk Tabung Haji bergerak,” katanya.
Langkah itu dibuat dengan cara Kerajaan mengambil alih anak-anak syarikat Tabung Haji yang rugi dan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.
“Sebab itulah, Tabung Haji boleh hidup dan membuat keuntungan sampai sekarang,” kata Rafizi.
Ketika PH memerintah, tindakan kerajaan memindahkan anak-anak syarikat yang rugi ini ke bawah satu syarikat yang ditubuhkan iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd, telah diserang oleh Umno dan Pas.
Mereka mendakwa kerajaan PH khasnya Menteri Agama ketika itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa telah menjual aset umat Islam kepada orang bukan Islam hanya berdasarkan Menteri Kewangan ketika itu adalah dari DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan