"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peringatan Anwar buat Tian Chua

Malaysiakini

Anwar ingatkan Tian: 'Perjuangan bukan hanya melalui pilihan raya'

PRU15| Presiden PKR, Anwar Ibrahim menegaskan tidak semua pemimpin daripada parti itu perlu diketengahkan sebagai calon pada Pillihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar mengulas kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua hari ini yang memberi amaran bahawa langkah PKR menggugurkan beberapa ahli parlimen menjelang PRU15 boleh menjejaskan parti itu.

Kata Anwar, muka-muka baru termasuk golongan generasi baru perlu diberi peluang untuk bertanding pada pilihan raya berkenaan.

“Saya ingin tegaskan (kepada) Tian Chua, tidak semua perjuangan itu harus melalui jalur pilihan raya.

“Kita perlukan sokongan tokoh-tokoh lama ini dalam parti untuk terus bimbing anak-anak muda,” katanya seperti dilapor Bernama.

Terdahulu, Tian Chua memberitahu terdapat ramai dalam kalangan ahli parti itu kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan dalam memilih calon-calon dalam pilihan raya kali ini.

Antara bekas Ahli Parlimen PKR yang tidak akan mempertahankan kerusi mereka termasuk Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), R Sivarasa (Sungai Buloh), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), June Leow (Hulu Selangor), Johari Abdul (Sungai Petani) dan Chan Ming Kai (Alor Setar).

Sementara itu Anwar menjelaskan pemindahannya ke kerusi parlimen baru berikutan keyakinan dua kerusi yang pernah disandangnya sebelum ini dapat meneruskan rentak kemenangan.

Bekas ahli parlimen Permatang Pauh dan penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu berkata pemindahan ke kerusi Parlimen Tambun diputuskan selepas kajian dilakukan di kawasan tersebut.

"Saya telah meninggalkan suatu gelanggang yang sudah kukuh. (Parlimen) Permatang Pauh bagi saya sudah kukuh dan (Parlimen) Port Dickson dalam beberapa tahun ini saya telah berikan perhatian sangat banyak.

"(Jadi) saya hendak kukuhkan dan harus tawan kawasan baru untuk memenangi dan menawan negara," katanya dalam rakaman audio yang dikongsikan kepada media menerusi kumpulan WhatsApp di Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis pengumuman calon PKR semalam, Anwar, yang juga calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) disahkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun .

Dia dijangka akan berdepan penyandang kerusi itu Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu.

Tiada ulasan: