"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun M dedah alasan tak bersara politik, 'duduk di masjid kejar akhirat'

Ahmad Suhael Adnan

ahmad.suhael@bh.com.my

PUTRAJAYA: Bersara dan 'duduk di masjid' tiada dalam perancangan masa depan Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun tidak lagi menjadi Ahli Dewan Rakyat selepas tewas di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Meskipun usianya bakal mencecah 97 tahun pertengahan 2023, bekas Perdana Menteri tetap mahu meneruskan perjuangannya yang disifatkannya masih belum selesai, terutama bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu bangsa Melayu.

Dr Mahathir melihat masalah membabitkan orang Melayu terlalu dekat di hatinya dan percaya usaha menyelesaikannya adalah jauh lebih penting berbanding kepentingan dirinya, termasuk atas alasan 'duduk di masjid untuk mengejar akhirat'.

"Saya nak bersara daripada politik. Sebenarnya pada 2002, saya syorkan saya letak jawatan (Perdana Menteri), saya nak bersaralah. Tapi apabila saya bersara, terdapat banyak perkara berlaku yang tidak disenangi oleh orang ramai. Mereka bertanya kepada saya, sama ada saya boleh tolong atau tidak.

"Dengan pengalaman 22 tahun sebagai Perdana Menteri, saya faham tentang masalah dan cara-cara mengatasi masalah.

"Kalau orang tanya, boleh ke tak tolong, tapi saya kata 'sorrylah, saya nak rehat, saya nak balik ke madrasah, nak sembahyang untuk akhirat', nampak saya utamakan diri saya lebih daripada bangsa saya," katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, baru-baru ini.

Beliau ditanya sama ada dirinya masih relevan dalam politik negara selepas kalah teruk dan hilang deposit dalam PRU15 atau tiba masa untuk bersara sepenuhnya daripada politik dan 'duduk di masjid'.

Dalam PRU15, Dr Mahathir yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dimenanginya pada PRU14.

Bekas Perdana Menteri hanya memperoleh 4,566 undi, sekali gus kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Suhaimi Abdullah yang menang dengan majoriti 13,518 undi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir memberi bayangan akan terus aktif dalam politik, terutama selagi khidmatnya masih diperlukan untuk membantu orang Melayu.

"Saya selalunya memandang masalah bangsa saya itu adalah perkara utama dalam kehidupan saya. Jadi saya tak boleh utamakan diri saya sedangkan bangsa saya mungkin menghadapi masalah.

"Kalau saya ada cara untuk mengatasi, tak baiklah kalau saya lebih utamakan kepentingan diri saya," katanya.

Tiada ulasan: