V Anbalagan
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengeluarkan kad pengenalan kepada seorang remaja berusia 13 tahun kerana ibu bapanya yang berlainan bangsa tidak menjalani ujian DNA.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ruslin Jusoh dalam afidavit jawapan berkata, ibu bapa remaja itu diminta melakukan ujian DNA untuk mengesahkan kebapaannya.
“Kami meminta pasangan itu melakukan ujian DNA kerana ciri-ciri wajah dan warna kulitnya tidak sama dengan ibu bapanya,” kata Ruslin dalam afidavit bertarikh 26 Feb yang dilihat FMT.
Ruslin adalah ketua pengarah JPN dari April 2019 hingga Mac tahun ini, dan kini ketua pengarah Jabatan Imigresen.
Pasangan itu membawa remaja berkenaan ke cawangan JPN di Jalan Duta di sini pada 24 Mac tahun lalu, tetapi pegawai mendapati ciri-ciri wajah serta warna kulitnya tidak sama dengan mereka.
Ruslin berkata, tiga bulan kemudian, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN merekodkan kenyataan pasangan itu, dan menasihatkan mereka mendapatkan ujian berkenaan. Mereka bagaimanapun tidak bersetuju berbuat demikian ketika kembali ke JPN untuk menjawab soalan lanjut pada Oktober tahun lalu.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan kebapaan kanak-kanak itu, dan sementara itu saman dikemukakan ibu remaja berkenaan wajar diketepikan,” katanya.
Sementara itu, ibu remaja berkenaan dalam afidavitnya berkata wajah dan warna kulit kanak-kanak itu berlainan kerana beliau dan suami berasal dari negara malah bangsa berbeza.
Dalam afidavitnya yang disahkan bulan lalu, plaintif yang berkerakyatan Indonesia itu berkata, dia dinasihatkan peguamnya bahawa JPN tiada hak untuk mencampuri hal peribadi sesebuah keluarga.
“Tiada keperluan untuk kami menjalani sebarang ujian DNA memandangkan defendan (JPN dan kerajaan) tidak mempertikaikan anak itu dilahirkan semasa perkahwinan kami.
“Oleh itu, anak ini adalah anak sah bersama suami, dan berdasarkan itu, dia adalah warganegara Malaysia,” katanya.
Wanita itu juga mendakwa mereka enggan mengambil ujian DNA kerana telah diberikan nasihat salah oleh JPN.
Pada Januari lalu, wanita itu memfailkan saman memohon deklarasi bahawa anak lelakinya, yang telah dikeluarkan sijil beranak, adalah rakyat Malaysia.
Dalam saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi, wanita itu menuntut supaya ketua pengarah JPN mengeluarkan kad pengenalan untuk anaknya itu. Beliau juga mahukan sijil beranak anaknya yang kini dalam simpanan JPN, dipulangkan kepada mereka. Wanita itu yang telah mengahwini rakyat tempatan, turut menamakan kerajaan sebagai defendan.
Dalam afidavit sokongannya, wanita itu berkata dia mengahwini suaminya pada 2000 dan mereka mempunyai dua anak, yang kedua-duanya dikeluarkan sijil beranak memandangkan bapa mereka warga Malaysia.
Bagaimanapun, dia mendakwa pegawai JPN tahun lalu enggan mengeluarkan kad pengenalan untuk anaknya itu, sebaliknya merampas sijil beranaknya. Dia turut mengesahkan anaknya bukan rakyat negara lain, dan tidak membuat permohonan untuk kewarganegaraan lain.
Peguamnya A Srimurugan berkata Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh menetapkan 16 Ogos untuk mendengar permohonan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan