"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri KDN: Judi atas talian ada 'naungan politik'

Malaysiakini 

Kerajaan tidak menolak wujud pembabitan orang politik yang melindungi aktiviti perjudian atas talian di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Jelasnya, 'naungan politik' terhadap aktiviti perjudian itu bagi memastikan pihak terbabit tidak dapat dikenakan tindakan undang-undang dan ini menyukarkan tugas pihak polis untuk bertindak.

Saifuddin berkata, pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.

"Memang wujud elemen 'naungan politik', ada, dan dari situ datangnya perlindungan. 

“Pemain (penyedia operasi Judi) dinaungi. Balasannya supaya tindakan tidak diambil, mereka bocorkan maklumat jika ada operasi.

"Peringkat polis ini perlu kepada perhatian berat...Sama ada wujud naungan politik orang tertentu," katanya ketika menjawab soalan tambahan R Ramanan (PH- Sungai Buloh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ramanan membangkitkan pertanyaan mengenai pembabitan orang politik dalam aktiviti perjudian di negara ini.

Saifuddin juga memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital serta Bank Negara (BNM) bagi mengekang aktiviti berkenaan.

Tambahnya aktiviti perjudian dalam talian ini merupakan satu fenomena yang dihadapi oleh semua negara di dunia ini dan memerlukan tindakan bersepadu secara tersusun.

"Ini satu minggu saja jual (aktiviti perjudian ekor) anggaran RM200 juta (boleh dapat) senang," katanya yang turut menunjukkan kepada ahli Parlimen contoh aktiviti perjudian dalam talian yang ada di negara ini.

Katanya kerajaan mempunyai pangkalan data berhubung aktiviti haram berkenaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata dengan menggunakan akta yang lama ataupun sedia ada, agak menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap perjudian dalam talian itu.

Oleh itu katanya, ia memerlukan kepada satu iltizam politik untuk menggubal ataupun meminda akta yang sedia ada supaya tindakan dapat diambil terhadap pemain aktiviti haram itu.

"Undang-undang kita ada dua saja, satu Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953...Akta tahun 1953 tidak pernah dipinda.

"Bila bawa ke mahkamah 'judi online' tiada dalam akta...Undang-undang yang lama itu kita perlu lakukan pindaan," katanya lagi.

Tiada ulasan: