FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas mengaku salah di Mahkamah Majistret Jasin, Melaka, atas dua tuduhan menembak mati lima lembu yang menceroboh kebunnya.
Midon Lambak, 79, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.
Menurut Sinar Harian, tertuduh didakwa menembak mati lima lembu itu menggunakan senjata “shotgun 12 Bore” jenis Baretta A303.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kebun Felda Bukit Senggeh, Nyalas, Asahan pada 7.30 pagi, 15 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman maksimum satu tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, Midon didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor lembu yang bernilai RM5,000 sehingga menyebabkan kematian ke atas haiwan itu pada masa, tempat dan tarikh yang sama.
Firdaus kemudian menetapkan 17 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu bahan kes iaitu senjata itu dibawa ke mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan