"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Dewan Diraja Selangor mohon polis bertindak pada Sanusi

Malaysiakini

Isu kenyataan Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor terus menarik perhatian termasuk kalangan orang bukan politik.

Kali ini Dewan Diraja Selangor pula merujuk Pengarah Pilihan Raya PAS dan PN itu kepada polis.

Dalam aduannya, ahli Dewan Diraja Selangor Mohamad Adzib Mohd Isa menganggap kenyataan dibuat Sanusi beberapa hari lalu sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

Ia juga katanya boleh mencetuskan keresahan dan kekecohan dalam kalangan masyarakat khususnya di Selangor.

Kata Mohamad Adzib tindakan Sanui - yang kini menjadi menteri besar sementara Kedah - boleh dianggap menghina kedaulatan institusi diraja di Selangor.

"Saya memohon polis dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Menteri Besar Kedah ini.

"Saya juga berharap agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia boleh mengambil tindakan dengan menutup semua akaun media sosial menteri besar Kedah yang mengandungi ucapan yang berkaitan agak beliau tidak terus menggunakan platform berkenaan untuk menyebarkan video ceramah tersebut yang berunsur hasutan dan fitnah terhadap raja kami," katanya dalam laporan berkenaan.

Ia dibuat di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam petang ini.

Turut mengiringi Mohamad Adzib ialah beberapa individu berpengaruh termasuk bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang, dan anggota Dewan Diraja Selangor yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh serta Mohammad Khusrin Munawi.

Baru-baru ini Sanusi dilihat membandingkan pelantikan menteri besar di Kedah - merujuk kepada dirinya sendiri - dengan Selangor dan mengaitkan proses itu dengan pihak istana kedua-dua negeri.

Dalam ucapan sama, timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu juga melabel menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari sebagai ahli politik cokia.

Ia mengundang protes pelbagai pihak. Media melaporkan sehingga tengah hari tadi ada lebih 30 laporan polis dibuat ke atas Sanusi.

Mohamad Adzib berkata dalam ucapan sama Sanusi juga menyentuh isu agama, perkauman dan raja Melayu (3R).

"Kes ini boleh diklasifikasikan di bawah kesalahan Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya dalam laporan tersebut.

Tiada ulasan: