Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my
LOKASI kejadian wanita menikam diri sendiri selepas cuba membunuh anaknya di Taman Kota Laksamana. FOTO Nursaliawati Sabri
Melaka: Wanita ditemukan meninggal dunia dengan beberapa kesan tikaman di bahagian perut di Taman Kota Laksamana, di sini, petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, wanita berusia 56 tahun berkenaan didakwa terlebih dahulu cuba membunuh anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU).
Menurut saudara mangsa, dia mengetahui kejadian selepas dihubungi ibunya yang meminta dia untuk ke rumah kakaknya disebabkan wanita itu sudah tidak sedarkan diri kerana menikam diri sendiri selepas cuba menikam leher anak keduanya.
"Sebaik tiba saya lihat anak saudara berlumuran darah dan terdapat kesan kecederaan pada lehernya selain dia memaklumkan ibunya sedang memegang pisau berada di atas rumah.
"Sebaik masuk ke ruang tamu, saya lihat kakak sudah tertiarap di lantai ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah selain terdapat juga kesan darah di dinding," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, anak saudaranya turut memberitahu sebelum kejadian ibunya menyuruh dia memakan ubat tahan sakit dan tidur.
"Namun tidak lama selepas itu, ibunya tiba-tiba bertindak menikam lehernya menggunakan pisau namun dia sempat menyelamatkan diri dengan mengunci diri di dalam bilik.
"Saya difahamkan terdapat tiga kesan tikaman pada bahagian perut kakak selain anak saudara yang cedera kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
"Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan