Faris Fuad
faris.fuad@bh.com.my
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret hari ini mengenakan denda RM2,000 masing-masing terhadap dua ibu tunggal yang juga tukang urut kerana menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis berpangkat koperal, bulan lalu.
Majistret, Zhafran Rahim Hamzah, memutuskan hukuman berkenaan selepas warga Vietnam, Tu Dong Thuy Hoa dan Thi Lan Giang, masing-masing berusia 33 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan terbabit.
Mahkamah juga mengarahkan mereka dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati mencari langganan bagi tujuan persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota polis berpangkat koperal di sebuah bilik hotel di Taman Equine, Seri Kembangan, jam 6 petang, 27 Jun lalu.
Kesalahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, peguam bela kedua-dua tertuduh, M S Jasmine Faith, memohon hukuman berbentuk denda atas alasan anak guam berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
"Dua anak guam masing-masing perlu tanggung seorang anak berusia lima serta 10 tahun, selain memohon maaf atas perbuatan itu.
"Anak guam direman selama 15 hari sejak ditangkap selepas bekerja selama dua hari sebagai tukang urut, ia menjadi pengajaran kepada mereka," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan