"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Waris kena bayar cukai tertunggak LHDN?

Malaysiakini

Akta Cukai Pendapatan 1967 sebut tunggakan cukai si mati tak boleh hapus namun mufti Pahang berpendapat waris tidak perlu membayarnya.

Keputusan sama ada waris perlu membayar tunggakan cukai pendapatan bagi pembayar cukai yang telah meninggal dunia akan diketahui selewat-lewatnya September depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata perkara itu yang berdepan pandangan berbeza daripada dua mufti, akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang akan bersidang tidak lama lagi.

“Bagi peringkat Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Panel Pakar Syariah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang bersidang esok turut membincangkan isu cukai tertunggak itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Zakat Korporat Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati termasuk pengurusan cukai pendapatan.

Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.

Sebaliknya, surat rasmi akan dihantar kepada wakil sah atau pentadbir harta pusaka si mati bagi menuntut mereka melunaskan tunggakan cukai pendapatan yang hanya akan dihapus kira selepas suatu tempoh apabila semua prosedur berkenaan dilaksanakan.

Pada Mei lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan undang-undang menuntut wakil sah atau pentadbir harta pusaka pembayar cukai yang meninggal dunia, membayar tunggakan cukai ditinggalkan si mati, mengundang pandangan berbeza mufti dalam konteks syarak.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpandangan harus dibayar tunggakan cukai itu sambil memetik hadis diriwayatkan Imam At-Tirmidzi yang menyebut 'roh atau jiwa orang beriman itu tergantung dengan hutangnya sehinggalah dibayar atau dilunaskan'.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman pula berpandangan berdasarkan syariat Islam, pewaris harta pusaka pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia, tidak perlu membayar cukai tertunggak ditinggal si mati.

- Bernama

Tiada ulasan: