"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas kapten bola sepak didakwa ceroboh bilik hotel didiami wanita

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

BEKAS kapten pasukan bola sepak kebangsaan (kiri) didakwa menceroboh bilik hotel didiami wanita di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi.
Petaling Jaya: Bekas kapten pasukan bola sepak kebangsaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menceroboh bilik hotel didiami kenalan wanita pada 21 Jun lalu.

Tertuduh, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, 49, yang juga bekas pemain Perak FA membuat pengakuan itu selepas pertuduhan  dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Ahmad Shahrul dituduh melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bilik hotel didiami wanita berusia 36 tahun di sebuah hotel di Kelana Jaya pada 6 petang, 21 Jun lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM6,000, namun Suraj memohon jaminan rendah mengambil kira anak guamnya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan tujuh anak.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes disebut semula pada 18 September ini untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang lelaki yang juga mantan kapten skuad kebangsaan sekitar 2000 ditahan selepas dipercayai terbabit menceroboh bilik di sebuah hotel, di sini, pada 21 Jun lalu.

Menurut sumber, laporan polis itu dibuat oleh seorang lelaki selepas mendapati bekas pemain bola sepak terbabit menceroboh bilik hotel sebelum bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku kekecohan.

Katanya, ketika kejadian, terdapat seorang wanita berada di dalam bilik itu yang juga isteri pengadu.

Menurutnya, suspek dikatakan bertindak agresif hingga menimbulkan ketakutan terhadap wanita itu.

Tiada ulasan: