"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN atur Langkah Dubai untuk elak jadi kluster mahkamah?

SITI NUR ZAWANI

‘Langkah Dubai’ yang didakwa diatur sebahagian besar pemimpin blok pembangkang bagi menggulingkan kerajaan dipercayai dilakukan bagi mengelak dari menjadi kluster mahkamah.

Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri mengetahui setiap pergerakan mereka termasuk ketika mereka berada di Dubai untuk perancangan tebuk atap.

Dakwanya, ada sebahagian pemimpin yang tidak berani meneruskan rancangan tersebut selepas perbuatan mereka dihidu dan terbongkar.

“Setiap pergerakan mereka kita tahu. Siapa yang menghadiri perjumpaan, siapa yang peringkat awal nak pergi selepas itu bila benda dah kecoh tak berani pergi, macam-macam.

“Sudah pastilah Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri tahu tentang apa yang berlaku. Jadi memang seperti mana yang diungkapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Ahmad Zahid, memang ada Langkah Dubai dan memang ada usaha untuk menarik ahli-ahli Parlimen kita untuk bersama dengan mereka

“Dan usaha ini dilakukan bukan sahaja oleh mereka yang berada di dalam politik, (tetapi turut melibatkan mereka) yang takut menjadi kluster mahkamah atau pun sudah jadi kluster mahkamah, takut nak ke Penjara Sungai Buloh atau pun Penjara Kajang,” katanya dalam satu video.

Media melaporkan, Langkah Dubai didakwa didalangi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin.

Daim yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana rasuah dan pengubahan wang haram dikatakan sanggup membelanjakan ratusan juta ringgit untuk membeli ahli Parlimen kerajaan.

Namun Lokman berkata, biarpun Daim mempunyai kekuatan kewangan yang luar biasa, beliau tidak akan mampu menumbangkan kerajaan dan membentuk kerajaan baharu.

“Kerajaan baru tidak mungkin dapat dibentuk tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan tanpa perkenan ketua-ketua parti yang akan memutuskan secara en bloc parti mereka mahu menyokong siapa sebagai perdana menteri.

“Dua perkara ini dah tentu tidak mungkin akan berlaku. Ada usaha cuba buat kacau je, usaha tarik ahli Parlimen memang tak boleh,” katanya sambil menambah bahawa dakwaan Daim belanja sehingga RM750 juta untuk membeli wakil rakyat kerajaan adalah tidak logik.

“Ingat apa, Daim nak belanjakan duit dia sesuka hati dia macam tu? Dia nak belanja mestilah ada end result dia. Orang takkan mengeluarkan modal untuk sesebuah perniagaan kalau dia tahu tak berjaya.

“Kalau duit asyik keluar beli MP, kerajaan tumbang tapi tak boleh dibentuk kerajaan baru yang boleh memastikan dia selamat daripada menjadi kluster mahkamah, buat apa dia bayar,” katanya lagi.

Tiada ulasan: