"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjenamaan semula Malaysia, 2024

Utusanonline
Warga asing yang datang bekerja dan meniaga di negara ini akhirnya ada yang menjadi tauke dan kaya-raya berbanding rakyat di negara ini. – MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
DATUK IKBAL SALAM

TERASA sebak apabila mengaminkan doa dalam Qunut Nazilah di rakaat akhir solat buat kesejahteraan saudara kita di Palestin. Sebak kerana selain kita merafakkan doa, tidak banyak yang mampu dilakukan oleh umat Islam hingga jenayah kejam terhadap penduduk Gaza berterusan hingga hari ini dan kita hanya mampu melihat dan meratapi.

Terfikir juga alangkah baiknya jika suara keramat negara kita ini didengar dan mampu mempengaruhi negara lain untuk membela rakyat Palestin. Namun itu akan hanya berlaku dengan lebih signifikan jika negara ini kukuh dan gagah dari segi ekonomi, berpendapatan tinggi dan maju.

Kelangsungan hidup

Sungguh pun Palestin memerlukan doa dan sokongan kita tetapi jangan lupa berdoa untuk kesejahteraan rakyat Malaysia sendiri. Berbanding agresifnya kemajuan negara-negara jiran kita yang dahulunya tertinggal, negara kita kelihatannya masih terbelenggu selama dua dekad dengan status negara berpendapatan sederhana yang dikategorikan sebagai kurang nilai daya saing akibat kos yang tinggi, penghasilan keuntungan yang rendah dan senario ini dirujuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai terperangkap dalam kitaran ekonomi berbahaya.

Masih ramai dalam kalangan rakyat kita berjuang bukan untuk bermewah-mewah tetapi demi kelangsungan hidup bagi mendapatkan perkara asas seperti makan dan minum. Dalam suatu program radio terkenal baru-baru ini, ditanyakan kepada pendengar berapa duit yang ada dalam beg duit mereka pada setiap pertengahan bulan.
Amat menyedihkan apabila sebahagian besar pemanggil menyatakan jumlah wang yang dimiliki tidak cukup pun untuk menyampaikan hingga ke gaji yang akan datang.

Rumah berteduh

Ramai juga yang masih tidak mempunyai rumah dan kian ramai pula berkongsi keadaan rumah pangsa mereka yang amat uzur hingga hilang kesesuaiannya untuk dijadikan kediaman untuk berteduh.
Malahan kekecewaan terhadap masalah keuzuran flat-flat kos rendah dan penyelenggaraannya pernah dizahirkan Tuanku Sultan Johor yang menyatakan keperluan Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan agar usaha baik pulih dilaksanakan.

Dalam keterujaan pemaju perumahan membina rumah mewah dan pusat komersial, perlu dipastikan rumah mampu milik dibina secara meluas bagi meraikan permintaan rakyat. Itu belum lagi kita menyelami keluhan rakyat terhadap harga bagi sebuah rumah mampu milik hingga ada mengajuknya rumah mampu tengok sahaja.

Kesihatan rakyat

Selain perumahan amatlah juga penting mempunyai sistem rawatan kesihatan yang lebih selesa. Pedulilah kepada rakyat kita yang bila sakit menjadi lebih amat sakit akibat terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan dengan prasarana kesihatan yang kian menua hingga ada pesakit kronik yang sepatutnya berada di wad kecemasan diletakkan di wad biasa akibat wad kecemasan tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ada. Jurang fizikal yang amat luas tentunya boleh dilihat antara hospital awam dan hospital swasta yang dikunjungi golongan berada.
Menjenamakan semula Malaysia yang gagah perlu diisi oleh rakyat yang sihat. Maka selari dengan konsep mencegah lebih baik daripada merawat, sudah tiba masanya kerajaan bukan hanya berbelanja bagi penjagaan pesakit dengan fasiliti kesihatan tetapi berbelanja bagi menjalankan program kesedaran kepada rakyat akan keperluan menjaga kesihatan.

Syurga pendatang

Saya didatangi oleh beberapa klien yang ingin membeli beberapa bidang tanah yang mereka ini semua berasal dari Kemboja (tapi bukanlah makcik Kemboja yang tular tempoh hari). Mereka ini beberapa tahun lalu hadir ke pejabat saya untuk menyewa tanah tetapi kini mahu membeli pula tanah itu hasil usaha berniaga pakaian di beberapa lokasi di Johor. Pasca pembelian itu, tuan tanah warga Malaysia tadi kini menyewa pula sebahagian kecil tanah itu.

Saya tanya mereka bagaimana boleh membeli tanah secara konsisten? Mereka katakan menabung hasil jualan pakaian sejak mula berhijrah ke Malaysia dan setiap kali ada ruang membeli aset maka mereka akan secara berjemaah membeli tanah. Dari sisi pandangan penghijrah ini, zaman pasca pandemik di mana ramai yang memerlukan tunai adalah peluang terbaik untuk menekan pemilik tanah menjualkan tanah pada nilai harga di bawah pasaran.

Hijrah warga asing ke negara kita ini tidak kosong. Mereka tahu mereka boleh buat duit di negara kita kerana ada banyak segmen yang mana rakyat kita sendiri tiada kemahuan untuk terlibat.

Bermula dengan jual karpet secara kecil-kecilan akhirnya menjadi pemilik pusat beli-belah. Ada yang menjadi kontraktor besar dan terlibat dalam sektor pembinaan. Ironinya, ramai pula kontraktor Melayu kita gagal dan menyerah kalah dalam sektor pembinaan ini.
 
Pilhan Raya PBT

Sama ada kita sedar atau tidak dalam kesukaran rakyat terbanyak untuk melangsungkan kehidupan, ada beberapa pihak masih tegar mencadangkan agar kita berbelanja lagi untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang kali terakhir diadakan pada 1963. Cukup-cukuplah rakyat diajak berpolitik dan terpaksa turun padang mengundi bagi pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

Demokrasi tidak akan meluas hanya semata-mata dengan mengadakan pilihan raya kecil PBT dan tidak pula bermakna kita mempunyai Datuk Bandar yang lemah tanpa kita memilihnya melalui pilihan raya PBT. Ada banyak cara menambah baik peranan PBT selari dengan keperluan masa. Malahan dari segi amalannya, ada ramai ahli majlis di PBT yang diisi oleh ahli daripada parti politik bagi menyuarakan hasrat parti itu dalam operasi harian PBT.

Selain itu, terdapat keperluan untuk kerajaan meneliti kewajaran pelbagai agensi yang wujud dengan ruang kuasa yang bertindan. Mengambil kebanjiran pendatang asing tanpa izin tadi sebagai contoh, kita mempunyai pelbagai agensi kerajaan yang mempunyai objektif hampir sama namun arah tuju yang berbeza.

Dalam industri pertanian kita sepatutnya mempunyai pelbagai hasil tanaman tanpa perlu dibebani dengan import makanan yang besar. Namun ia tidaklah seperti yang kita harapkan sungguh pun begitu banyak agensi kerajaan berkait rapat dengan pertanian diwujudkan sehinggakan tanaman tertentu ada agensi khusus.
Kita perlu lihat semula sama ada agensi-agensi ini masih relevan dan jika relevan apakah telah mencapai indeks prestasi utama penubuhan? Jika tidak dijenamakan semula dengan arah tuju yang jelas, nanti akan ada pula agensi baharu khusus berkaitan tanaman bawang, petai, tomato dan tembikai di negara ini dengan pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang meriah tapi hasilnya menghampakan rakyat.

Tahun baharu 2024 ini perlu menjadi titik tolak sama ada kita akan berterusan menjadi pemerhati terhadap pantasnya negara-negara jiran kita yang bangkit membangunkan negara mereka atau sebaliknya.

Dengan naungan dan panduan Yang di Pertuan Agong ke-17 sebagai Ketua Negara bermula pada 31 Januari 2024 kelak, kita diharapkan boleh keluar dari kepompong keselesaan dan bangkit menjadi bangsa dan negara dihormati selari dengan teras Perlembagaan Persekutuan. Tirai 2023 akan dilabuhkan dan dengan izin-Nya jua akan kita lalui 2024 yang membawa sinar baharu untuk Malaysia.

DATO’ IKBAL SALAM ialah Peguambela dan Peguamcara Johor Bahru

Tiada ulasan: