Penyerang Liverpool, Mohamed Salah (tengah) meraikan gol keempat bersama Alexis Mac Allister dan Cody Gakpo ketika menundukkan Newcastle United 4-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool sebentar tadi. – Foto AFP
LIVERPOOL, England: Dua gol Mohamed Salah pada babak kedua menebus kegagalan sebelumnya terlepas penalti ketika Liverpool memulakan tahun baharu tiga mata di depan dalam carta Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 4-2 ke atas Newcastle UNited di Anfield dalam keadaan hujan lebat sebentar tadi.
Pasukan kendalian Jurgen Klopp, yang memulakan hari terikat mata dengan Aston Villa, kini mengumpul 45 mata daripada 20 perlawanan.
Villa meraih 42 mata manakala Manchester City, yang beraksi kurang satu perlawanan, di tangga ketiga dengan 40 mata. Newcastle pula di tangga kesembilan dengan 29 mata.
Liverpool mendominasi perlawanan dan Salah, yang merembat tepat sepakan penalti ke arah penjaga gol Martin Dubravka pada babak pertama, akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-49 apabila Darwin Nunez melintangkan bola kepada pemain Mesir itu bagi penyudah jarak dekat.
Alexander Isak menyumbat gol menerusi percubaan kedua Newcastle pada perlawanan itu pada minit ke-54 apabila dia menyambut lorongan cantik Anthony Gordon dan merembat melepasi jangkauan Alisson.
Bagaimanapun, Curtis Jones kembali meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-74 dengan tampanan mudah selepas menerima hantaran silang daripada Diogo Jota dan Cody Gakpo menambah gol empat minit kemudian.
Sven Botman membalas satu gol buat Newcastle pada minit ke-81 sebelum Salah, yang bermain aksi terakhirnya sebelum berlepas ke Piala Negara-Negara Afrika, menyempurnakan sepakan penalti selepas Jota dikasari bagi memastikan kemenangan pada minit ke-86. – REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan