Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
SUSPEK yang ditahan berkaitan kes pembunuhan pengawal keselamatan di tapak perkhemahan di Gunung Lang. FOTO Ihsan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh
Ipoh: Seorang pengawal keselamatan ditemukan mati dipercayai dibunuh di sebuah tapak perkhemahan di Gunung Lang di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 2.30 pagi tadi memaklumkan menemukan mangsa dalam keadaan terbaring dan cedera di kawasan pagar tapak perkhemahan itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 41 tahun itu bertugas sebagai pengawal keselamatan di situ.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat mendapati punca kematiannya disebabkan penyakit arteri koronari dengan kecederaan akibat objek tumpul dan tajam.
"Sehubungan itu, kes ini diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yahaya berkata, susulan itu, polis menangkap seorang lelaki berusia 31 tahun di Kampung Manjoi, jam 1.45 tengah hari tadi untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, ketika soal siasat melalui percakapan, pihaknya mendapati keterangan suspek yang juga penganggur itu tidak konsisten.
"Percakapan suspek berpusing-pusing (putar belit). Pada awalnya ada pengakuan, (jadi) kena soal siasat suspek dengan lebih terperinci.
"Dipercayai ketika kejadian hanya mereka berdua (suspek dan mangsa) di tempat kejadian," katanya memaklumkan ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah methamphethamin.
Katanya, semakan mendapati suspek memiliki 10 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah serta narkotik, selain pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.
"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Ipoh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan