"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas 45 tahun berkhidmat dengan gereja, bekas paderi kembali kepada fitrah Islam

NURULFATIHA MUAH
ABDUR RAHMAN, bekas paderi di sebuah gereja di Australia memilih untuk kembali kepada fitrah Islam selepas 45 tahun berkhidmat dengan gereja.
ABDUR RAHMAN, bekas paderi di sebuah gereja di Australia memilih untuk kembali kepada fitrah Islam selepas 45 tahun berkhidmat dengan gereja.
KHABAR pengislaman seorang paderi terkemuka di Australia, Gould David baru-baru ini tersebar menjadi berita utama di negara berkenaan dan seluruh dunia.

Masakan tidak, beliau bukan calang-calang individu. Bekas paderi itu dilaporkan telah mendedikasikan 45 tahun kehidupannya dengan berkhidmat di gereja.

Tidak dapat dipastikan bilakah tarikh sebenar beliau memeluk agama suci itu.

Menurut laporan portal Muslim Telegraph, Gould David mengambil nama Islamnya sebagai Dave Abdur Rahman Gould.

"Berita ini telah menarik perhatian dan mencetuskan perbualan meluas dalam kalangan agama kerana orang ramai tidak sabar-sabar untuk mengetahui motivasi di sebalik keputusannya (kembali kepada fitrah Islam)," katanya sebagaimana dipetik menerusi muslimtelegraph.com pada Isnin.

Sinar Islam difahamkan, Abdur Rahman sebelum ini pernah mendapat penghormatan sebagai seorang paderi dalam komuniti Kristian di bumi kanggaru itu.

Dalam catatan ringkasnya di laman sosial Facebook miliknya, Abdur Rahman mencoretkan: "Seumur hidup mencari kedamaian Tuhan dan al-Quran telah menunjukkan kepada saya bahawa keamanan dan kebenaran terletak dalam Islam."

Berita tentang saudara baharu tersebut turut menarik perhatian dunia dan ramai yang meninggalkan komen di media sosial masing-masing.


BERITA tentang pengislaman Abdur Rahman menarik perhatian ramai dan tular di media sosial.
Seorang warga siber dikenali sebagai Ja'afar Abuammar mengalu-alukan pengislaman Abdur Rahman.

"Buat Dave Abdur Rahman Gould, selamat datang kepada Islam. Saya gembira untuk awak.

"Galilah ilmu tentang Islam dan sampaikannya dengan sebaik mungkin," tulisnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Bagi pemilik akaun Facebook Hamid Ullah, beliau mengucapkan selamat datang kepada Abdur Rahman yang juga bekas pemimpin Gereja Ortodoks di Australia.

"ALLAH MAHA BESAR, segala puji bagi ALLAH. Selamat datang kepada Islam, saudara Dave Abdur Rahman Gould.

"Beliau memberi dua kesaksian dan memeluk Islam serta mengambil nama Abdur Rahman. Marilah kita sama-sama memohon kepada Tuhan agar beliau istiqamah (dengan agama suci ini)," katanya.

Tiada ulasan: