"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Langkah Dubai’: MP Lipis buat laporan polis terhadap Halim Romli Channel

Harapandaily

Ahli Parlimen Lipis membuat laporan polis terhadap pemilik akaun YouTube, Halim Romli Channel yang mendakwanya berada di Dubai sebagai percubaan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Wakil rakyat itu yang juga Ketua Umno Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, nama beliau turut disebut dalam klip video tersebut sebagai antara yang terbabit dalam ‘Langkah Dubai’.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penyebaran klip video tersebut adalah bermotifkan tuduhan jahat yang sengaja diada-adakan.

Menurutnya, tuduhan itu bagi menimbulkan polemik serta ingin mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sedangkan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, saya sebagai Ahli Parlimen di sini berada di Malaysia khususnya di kawasan ini untuk memenuhi program dan menyantuni masyarakat,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, beliau tetap bersedia memberi khidmat kepada masyarakat walaupun pada penghujung tahun dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang berlakunya banjir di kawasan diwakilinya.

“Tohmahan dan fitnah jahat terhadap pemimpin Barisan Nasional tidak seharusnya berlaku ketika Kerajaan Perpaduan kini mempunyai dua per tiga majoriti dan merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

“Tuduhan seperti ini sangat berbahaya kerana situasi ini boleh mengganggu gugat kestabilan ekonomi dan memberi kesan kepada pelaburan asing dan sekali gus akan menjejaskan peluang pekerjaan khususnya untuk orang muda,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: